AS peroleh 200 juta dos vaksin Covid-19

Joe Biden mengumumkan bahawa pentadbirannya memperoleh perjanjian tambahan 200 juta dos vaksin Covid-19.
Joe Biden mengumumkan bahawa pentadbirannya memperoleh perjanjian tambahan 200 juta dos vaksin Covid-19.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden pada Khamis mengumumkan bahawa pentadbirannya memperoleh perjanjian tambahan 200 juta dos vaksin Covid-19.

Perjanjian itu menjadikan jumlah keseluruhan vaksin diterima AS meningkat kepada 600 juta dos.

"Kami telah menandatangani kontrak akhir untuk 100 juta dos vaksin dibangunkan Moderna dan 100 juta lagi daripada Pfizer," kata Biden semasa lawatan di Institut Kesihatan Nasional (NIH) di Bethesda, Maryland.

Tambahnya, AS kini mempunyai bekalan yang cukup untuk program vaksinasi 300 juta penduduk menjelang akhir Julai nanti.

Sementara itu, Biden mengkritik program vaksinasi Covid-19 yang diwarisinya daripada Donald Trump dan meminta rakyat Amerika untuk bersabar ketika beliau berusaha memperbaikinya.

Katanya, Trump menghabiskan dua bulan terakhirnya berusaha menolak keputusan Pilihan Raya Presiden pada 3 November lalu dan tidak membuat tempahan vaksin yang mencukupi serta tiada kesungguhan bagi memastikan orang ramai mendapat vaksin.

Perkara itu menurut Biden, menyebabkan pentadbirannya menghadapi masalah serius tidak sampai sebulan selepas mengambil alih pentadbiran daripada Trump.

"Ia benar-benar menjadi masalah logistik yang besar bagi kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Biden dalam rancangan 100 hari pertamanya di Rumah Putih antara lain mahu memastikan lebih 100 juta rakyat AS menerima suntikan vaksin dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

Setakat ini, AS masih kekal sebagai negara paling teruk terjejas akibat Covid-19 di dunia dengan lebih 27 juta kes jangkitan dan hampir 480,000 kematian. - Agensi