Warga emas ditemui meninggal dunia dalam rumah

Warga emas terbabit disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan. -Foto Friends of Bomba Bukit Angin Temerloh
Warga emas terbabit disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan. -Foto Friends of Bomba Bukit Angin Temerloh
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Rasa tidak sedap hati seorang lelaki membawa kepada penemuan mayat ayahnya yang ditemui meninggal dunia di rumah keluarganya di Taman Perindu pada Khamis.

Mangsa, Jamil Ismail, 67 yang juga seorang pesara kerajaan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, anak lelaki mangsa yang berusia 35 tahun itu datang ke rumah kira-kira jam 4 petang untuk melawat ayahnya yang tinggal seorang diri selepas kematian isterinya.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian anak mangsa mendapati pintu grill rumah terbabit berkunci dan beberapa panggilan telefon yang dibuat tidak dijawab oleh ayahnya.

"Rasa tidak sedap hati menyebabkan anaknya menghubungi pihak bomba dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Angin datang untuk memotong mangga pada grill pintu rumah terbabit.

"Apabila masuk ke dalam rumah, anaknya mendapati bapanya tidak bergerak dan pengesahan oleh pejabat kesihatan, mangsa telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Anggota bomba dari BBP Bukit Angin memotong mangga di pintu rumah terbabit pada Khamis. -Foto Friends of Bomba Bukit Angin Temerloh
Anggota bomba dari BBP Bukit Angin memotong mangga di pintu rumah terbabit pada Khamis. -Foto Friends of Bomba Bukit Angin Temerloh

Mengulas lanjut, Mohd Yusri berkata, jiran mangsa memaklumkan warga emas itu hadir ke surau pada waktu Subuh namun tidak muncul ketika solat Zuhur.

Artikel Berkaitan:

"Setiap hari anak mangsa datang melihat ayahnya dan menyatakan warga emas yang tinggal seorang diri setelah kematian ibu mereka itu turut mengidap penyakit sawan, darah tinggi serta kolestrol.

"Pemeriksaan terhadap mayat mangsa mendapati tiada kecederaan fizikal yang mencurigakan untuk dikaitkan dengan perbuatan jenayah," jelasnya.

Menurut Mohd Yusri, keadaan barangan dalam rumah juga berada dalam keadaan kemas selain dokumen mangsa ada bersama warga emas berkenaan.

"Mayat mangsa telah dibawa kepada pihak forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya siasatan lanjut sedang dijalankan.