Asia Tenggara fokus baharu WHO

Pasar Baishazhou antara lokasi yang dikunjungi pakar WHO untuk mendapatkan maklumat bagi membantu siasatan mereka. - Foto: AFP
Pasar Baishazhou antara lokasi yang dikunjungi pakar WHO untuk mendapatkan maklumat bagi membantu siasatan mereka. - Foto: AFP
A
A
A

WUHAN - Misi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke China berakhir pada minggu ini tanpa mengenal pasti sumber sebenar Covid-19 yang telah merekodkan lebih 107.4 juta jangkitan dan meragut lebih 2.3 juta nyawa di seluruh dunia.

Namun, pasukan pakar antarabangsa itu sependapat virus tersebut dipercayai disebarkan daripada kelawar kepada spesies haiwan tidak diketahui sebelum menjangkiti manusia.

Selain itu, ia juga menolak teori yang mendakwa sebuah makmal di Institut Virologi yang dilengkapi kawalan keselamatan ketat di bandar Wuhan sebagai punca penyebaran wabak itu.

Laporan akhir itu kembali mencetuskan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China selepas Kementerian Luar di Beijing pada Rabu menggesa Washington bersikap terbuka, telus dan menggunakan pendekatan lebih ilmiah untuk menjemput pakar WHO menyiasat asal-usul Covid-19 di negara itu pula.

Beijing menempelak AS selepas ia masih tidak berpuas hati dan mendakwa tidak akan menerima laporan siasatan di bandar Wuhan tanpa mendapatkan pengesahan sendiri berdasarkan maklumat risikan mereka.

Hos utama masih misteri

Selepas misi sukar itu berlangsung selama hampir sebulan, masih terdapat beberapa persoalan yang masih belum menjawab asal-usul virus tersebut.

Pakar mendakwa ujian telah dilakukan terhadap puluhan ribu sampel haiwan liar, ternakan dan domestik di seluruh China, namun tiada satu daripadanya mengandungi virus SARS-CoV-2 yang mencetuskan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Ahli virologi Belanda dan anggota pasukan pakar WHO, Marion Koopmans berkata, spesies yang lebih mudah dijangkiti virus itu termasuk tikus buluh dan arnab dijual di pasar borong Huanan yang dipercayai sebagai lokasi kluster paling awal wabak itu mungkin membuka jalan kepada penyelidikan semula.

Peter Ben Embarek ketika mendedahkan laporan akhir tentang misi WHO di bandar Wuhan, wilayah Hubei pada Selasa. - Foto: AFP
Peter Ben Embarek ketika mendedahkan laporan akhir tentang misi WHO di bandar Wuhan, wilayah Hubei pada Selasa. - Foto: AFP

Sementara itu, ahli zoologi British, Peter Daszak berkata, koronavirus yang mempunyai kaitan dengan SARS-CoV-2 telah dikesan pada spesies kelawar di Thailand dan Kemboja.

“Fokus kajian kami kini beralih ke rantau Asia Tenggara. Saya berasa kita akan dapat juga mengenal pasti hos sebenar virus itu pada satu hari nanti,” katanya.

Banyak pihak menyuarakan kebimbangan terhadap had akses data yang diberikan kepada pakar antarabangsa tersebut walaupun Beijing didakwa cuba menyembunyikan tahap bahaya sebenar pandemik itu ketika ia mula menular di Wuhan pada Disember 2019.

Ahli epidemiologi Denmark, Thea Kolsen Fischer memaklumkan pasukan WHO tidak diberikan data mentah sebaliknya mereka bergantung kepada analisis awal dilakukan saintis China.

“Dalam kebanyakan kes, adalah perkara biasa apabila pihak luar diberikan akses kepada data gabungan,” ujarnya sambil menambah pakar WHO masih mendapat akses penuh ke lokasi dan bertemu individu seperti rancangan awal.

Produk sejuk beku import

Beijing berulang kali mengeluarkan teori bahawa virus itu dibawa ke China melalui rangkaian produk sejuk beku seperti makanan laut yang mencetuskan penularan Covid-19 di negara tersebut.

Sebelum ini, Ketua Kecemasan WHO, Mike Ryan menjelaskan tiada bukti menunjukkan bungkusan atau rangkaian produk makanan menyebabkan penyebaran wabak itu.

Tetapi, misi WHO seakan-akan menyokong dakwaan terhadap teori tersebut.

Ketua Pasukan Pakar di China, Liang Wannian mendakwa virus itu boleh berada pada permukaan produk sejuk beku untuk perjalanan jarak jauh yang disokong sampel diperoleh daripada pasar borong Huanan yang menjual makanan laut dan haiwan liar sejuk beku yang menunjukkan ‘pencemaran meluas’.

Ketua Pasukan Pakar WHO, Peter Ben Embarek bagaimanapun menyatakan masih belum jelas bagaimana virus itu boleh disebarkan kepada manusia daripada permukaan produk sejuk beku yang tercemar.

Berasal dari luar China?

Beijing juga berulang kali menggesa WHO melancarkan misi mengenal pasti asal-usul virus itu di AS selepas teori konspirasi mendakwa ia berpunca daripada sebuah makmal penyelidikan kuman milik tentera Amerika.

China turut mencadangkan siasatan sama dilakukan terhadap kes jangkitan awal Covid-19 di Itali dan negara lain pada akhir 2019.

Menerusi laporan akhir itu, Koopmans menjelaskan kajian itu tidak memberikan bukti lengkap tentang penularan awal Covid-19 di luar China pada awal Disember 2019.

“Pakar masih perlu melakukan kajian untuk memperoleh bukti tentang penyebaran awal wabak tersebut,” katanya.

Siasat negara lain

Jelas Koopmans lagi, kajian lanjut perlu dilakukan ke atas ladang yang membekalkan haiwan liar ke pasar borong Huanan.

Selain itu, pakar WHO juga mencadangkan pengambilan lebih banyak sampel hos utama haiwan liar terutamanya kelawar di dan luar China menggunakan pendekatan baharu untuk kajian darah dan mengenal pasti kes jangkitan awal yang tidak direkodkan di Wuhan.

Tetapi, China berpendapat siasatan untuk peringkat seterusnya wajar dilakukan di negara lain pula. - AFP