Bukan hanya lapor kes rasuah, perlu ada tindakan susulan

Gambar hiasan. gambar kecil: Khairuddin Mohd Khir
Gambar hiasan. gambar kecil: Khairuddin Mohd Khir
A
A
A

SHAH ALAM - Hala tuju gerakan Sinar Rasuah Busters perlu diperjelas dan diperhalusi supaya objektifnya untuk membanteras jenayah rasuah di Malaysia dapat dilaksanakan sebaiknya.

Seorang usahawan, Khairuddin Mohd Khir, 64, berkata, beliau menyokong inisiatif gerakan Sinar Rasuah Busters yang diperkenalkan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub bagi melaporkan kes rasuah dalam kalangan masyarakat.

Bagaimanapun, beliau berpendapat jika gerakan itu hanya sekadar melaporkan kes rasuah yang berlaku, ia bukanlah sesuatu yang baharu kerana jenayah tersebut sudah lama berlaku dalam masyarakat dan sering dilaporkan oleh media.

“Gerakan Sinar Rasuah Busters perlu mempunyai pelan tindakan dan arah tuju dalam membanteras kegiatan rasuah ini, bukan sekadar menerima aduan tentang kes itu dan melaporkan tentangnya semata-mata.

“Gerakan ini adalah satu langkah yang bagus, tapi ia tidak akan efektif jika tiada tindakan susulan diambil oleh pihak berkuasa setelah laporan akhbar dibuat,” katanya kepada Sinar Harian.

Khairuddin yang pernah menjadi pengurus beberapa buah syarikat termasuk pengimport kereta terpakai berkata, gerakan Rasuah Busters boleh membangkitkan kesedaran dalam masyarakat mengenai jenayah rasuah sekali gus menimbulkan gesaan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan masalah itu.

Ujarnya, kedudukan Malaysia di tangga ke-57 dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) telah diketahui ramai dan mencemarkan imej negara.

“Kita baru nak bawa keluar cerita (jenayah rasuah), tapi satu dunia dah tahu pasal kita. Jadi sekarang bukan laporkan berita sahaja, tetapi perlu ada tindakan segera selepas itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Khairuddin berkata, gejala rasuah perlu dibendung di peringkat belia khususnya mahasiswa dengan menerapkan nilai-nilai keagamaan dan kemanusiaan dalam pembelajaran.

Menurutnya, antara punca rasuah masih berlaku dalam masyarakat adalah kerana kurangnya iman dan nilai kemanusiaan dalam diri individu, sekali gus memberi kesan negatif kepada pelbagai aspek dalam kehidupan, termasuk kepada pemerintahan dan pembangunan negara.

“Bila graduan yang dilahirkan cemerlang dari sudut akademik tetapi gagal dari sudut kerohanian, itulah permulaan kepada lahirnya pemimpin masa depan yang tidak bertindak berlandaskan ajaran agama.

“Saya sarankan supaya pihak universiti memasukkan memasukkan Pengajian Islam dan Pendidikan Sivik sebagai subjek wajib di institusi pengajian tinggi,” katanya.