Ada peluang Safiq kembali

Safiq tidak bersama skuad Harimau Malaya hampir tiga tahun.
Safiq tidak bersama skuad Harimau Malaya hampir tiga tahun.
A
A
A

BUKAN sesuatu yang mustahil sekiranya bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim kembali menyarung jersi skuad kebangsaan suatu hari nanti.

Malah, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe juga tidak menolak kemungkinan memanggil semula Safiq atau mana-ama pemain jika mereka berada dalam prestasi terbaik.

Menurut Cheng Hoe, beliau akan tetap memantau perkembangan prestasi Safiq yang hampir tiga tahun tidak beraksi di pentas antarabangsa.

“Bagi saya, tak kira pemain itu datang dari mana atau bermain dengan kelab mana, yang penting dia perform, maka dia layak untuk dipanggil menyertai pasukan kebangsaan.“Mengenai Safiq, sudah tentu kami akan menilainya dan jika prestasinya baik, sudah tentu dia akan dipanggil semula. Semua itu bergantung kepada prestasinya di tengah padang.“Sebenarnya bukan Safiq saja, tak kira pemain mana sekalipun... jika mereka menyerlah dalam saingan liga nanti dan berada pada prestasi terbaik, kami akan panggil.

“Jadi saya juga berharap jurulatih dan pihak pengurusan kelab masing-masing akan dapat mempertimbangkan perkara itu jika ada pemain mereka dipanggil nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Safiq menjadi antara watak penting kejayaan Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 selain membantu skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara meraih pingat emas Sukan SEA 2011.

Di peringkat domestik, pemain tengah berusia 33 tahun itu sudah mengecapi pelbagai kejayaan bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor.

Semua trofi kejuaraan utama domestik - Liga Super, Piala Malaysia, Piala FA sudah berada dalam genggaman Safiq termasuk kejuaraan Piala AFC yang dimenanginya bersama JDT pada 2015.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Cheng Hoe berharap Liga Malaysia (Liga-M) yang dijadual bermula 5 Mac ini menjadi platform terbaik untuk memanggil barisan pemain menjalani kem latihan pusat bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Jika tiada sebarang masalah, kem latihan pusat akan diadakan bulan depan selepas lebih setahun kami tidak berlatih bersama. Saya harap pemain yang dipanggil nanti berada pada tahap terbaik.

“Sebab itu pentingnya liga itu bermula dahulu. Kami mahu memberikan peluang kepada pemain mendapat rentak mereka sebelum kami membuat keputusan untuk memanggil mereka,” ujarnya.