Sila log masuk terlebih dahulu.

Nombor satu cetus aura luar biasa

Azizulhasni bakal menggalas cabaran Malaysia dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo. Foto FB Azizulhasni Awang
Azizulhasni bakal menggalas cabaran Malaysia dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo. Foto FB Azizulhasni Awang
A
A
A

JAGUH berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang dianggap sebagai atlet luar biasa selepas dia berjaya menyambar kembali status pelumba nombor satu dunia dalam acara pecut individu.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, pencapaian itu membuktikan Azizulhasni mampu menghadirkan gerun kepada barisan pencabarnya ketika ini.

ABU SAMAH
ABU SAMAH

“Pertamanya saya ingin mengucapkan syabas kepada Azizulhasni kerana dia berjaya membuktikan dia antara yang terbaik dalam sukan berbasikal trek. Pelbagai kejayaan telah ditempa Azizulhasni lebih sedekad lalu.

“Bagi saya, apa yang dicapai Azizulhasi itu tidak datang dengan mudah. Sebaliknya, ia hasil daripada pengorbanan Azizulhasni sejak dia berkelana ke Melbourne, Australia untuk mengikuti kem latihan di sana.

“Semangatnya sentiasa membara dan dia sentiasa menginginkan kejayaan. Kejayaan Azizulhasni itu wajar dijadikan contoh kepada semua atlet terutamanya pelumba basikal trek Malaysia,” katanya pada Sinar Harian pada Khamis.

Pada masa sama, Abu Samah memberitahu, kejayaan Azizulhasni menduduki ranking pertama dunia acara pecut itu mampu melonjakkan semangatnya menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 Julai depan.

Malah, Abu Samah percaya Azizulhasni yang dicanang-canang sebagai prospek terbaik menjelmakan emas sulung Olimpik buat kontinjen Malaysia mampu mencipta kejutan di bumi Tokyo nanti.

Artikel Berkaitan:

“Sukan Olimpik bakal berlangsung kira-kira lima bulan daripada sekarang dan jika Azizulhasni kekal dengan prestasi terbaik ini, saya fikir kejayaan besar bakal menantinya.

“Saya dan seluruh warga PKBM dan rakyat Malaysia sentiasa mendoakan Azizulhasni berada dalam keadaan yang baik dan cukup bersedia menjelang Sukan Olimpik di Tokyo.

“Selain Azizulhasni, kami juga mengharapkan seorang lagi pelumba, Muhamad Shah (Firdaus) berada dalam situasi terbaik. Mereka menjadi sandaran terbaik kami pada Olimpik nanti,” ujarnya.

Pada Olimpik Rio 2016, Azizulhasni mencipta sejarah tersendiri apabila meraih pingat gangsa acara keirin, sekali gus memadam kegagalannya pada edisi 2008 di Beijing 2008 dan London 2012.

Azizulhasni dan Muhammad Shah bakal menggalas cabaran Malaysia dalam acara keirin dan pecut individu pada Sukan Olimpik Tokyo.