48 pegawai, kakitangan Arab Saudi didakwa terlibat rasuah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

RIYADH - Seramai 48 pegawai dan kakitangan di Arab Saudi berdepan tuduhan rasuah, menurut pihak berkuasa antirasuah negara itu pada Khamis.

Pihak Berkuasa Pengawasan dan Antirasuah (Nazaha) memaklumkan kesemua individu tersebut berkhidmat di Kementerian Pertahanan, Dalam Negeri, Kehakiman, Perumahan, Pendidikan, Alam Sekitar dan Air serta Pertanian.

Sebahagian daripadanya juga adalah kakitangan Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan serta Pihak Berkuasa Umum Meteorologi dan Alam Sekitar.

"Antara pertuduhan yang dikenakan ke atas individu terbabit termasuk rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pemalsuan," ujarnya.

Menurutnya, seramai 17 warga asing dan ekspatriat juga ditahan kerana terlibat rasuah.

Penahanan itu dibuat susulan siasatan terhadap peranan 411 individu dalam skandal rasuah.

Difahamkan, Nazaha melancarkan kempen secara besar-besaran menyasarkan individu yang mengeksploitasi pejabat awam demi untuk kepentingan sendiri atau merosakkan kepentingan umum dalam apa jua cara.

Bulan lalu, badan tersebut mengenakan beberapa kes jenayah seperti penggelapan dana awam dan melakukan penipuan ke atas puluhan individu termasuk kakitangan kerajaan. - Agensi

Artikel Berkaitan: