X

Kindly register in order to view this article
!

Sukarelawan pasukan beruniform pantau SOP Covid-19

Mohd Redzuan beramah mesra dengan pengunjung di premis makanan di Pavillion, Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengambil alih dan menggerakkan sukarelawan beruniform untuk menyertai Program Pemerkasaan Komuniti sebagai usaha memerangi Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, sukarelawan itu akan dilatih untuk memantau, melakukan pengesanan kontak dan menggunakan sistem-sistem yang ditambah baik.

"Sekarang ini kita sudah panggil dan kita perlu mengambil alih kerana ia memakan masa untuk sukarelawan tampil membantu. Jadi apa yang kita lakukan, kita sudah gerakkan jentera sedia ada.

"Contohnya, sukarelawan yang beruniform (seperti) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan saya semalam (Rabu) ada berbincang dengan bekas-bekas polis dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berdaftar yang mahu berdepan membantu kerajaan tanpa melibatkan kewangan yang besar.

"Jadi, inilah usaha kita untuk berkongsi senjata memerangi Covid-19," katanya pada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Sementara itu, Mohd Redzuan membuat tinjauan ke pusat membeli-belah Pavilion di Bukit Bintang di sini susulan pembukaan di kedai dan beberapa sektor perniagaan peruncitan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikuatkuasakan pada Khamis.

Menurutnya, orang ramai sudah mula memahami norma baru yang ditetapkan dan ini memberi rangsangan kepada kerajaan untuk membuka dengan lebih luas aktiviti-aktiviti ekonomi yang lain.

"Harapan saya dalam masa yang terdekat ini, orang ramai akan kembali kepada aktiviti-aktiviti biasa tetapi dengan norma-norma baru yang akan kita masukkan oleh sukarelawan-sukarelawan.

"Dia (Sukarelawan) boleh menegur, boleh memantau. Kita cuba menggelakkan mengenakan hukuman.Tetapi kalau orang yang berdegil kita terpaksa hukum mereka mengikut undang-undang yang sedia ada.

"Sebab kita tidak mahu orang yang berdegil dan tidak patuh itu menjadi ejen kepada penularan dan membahayakan orang di sekeliling kita," katanya.

Pada Selasa, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula serta kebenaran makan di restoran dengan SOP yang ketat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu bagi memastikan kelangsungan ekonomi perniagaan peruncitan; antaranya ialah kedai pakaian dan aksesori, aksesori kereta, kraftangan, kedai permainan kanak-kanak dan kedai peralatan sukan.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!