Gara-gara rompak RM6, lelaki dijel tujuh tahun

Tertuduh, Che Ismail Mahmood dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana merompak RM6.
Tertuduh, Che Ismail Mahmood dijatuhi hukuman tujuh tahun penjara dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana merompak RM6.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara merompak RM6, seorang lelaki menanggung padah apabila dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dikenakan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Che Ismail Mahmood, 25, dari Permaisuri, Setiu, mengaku bersalah mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan rompakan dengan mengambil wang tunai RM6 milik Muhammad Syaiful Bahri Mahadi, 20, di Pengkalan Mat Ludin, Jalan Kampung Ulu Seladang, Setiu, lebih kurang jam 1 tengahari, pada 26 Januari lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Izzat Wan Abdullah dihadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, mangsa bersama rakannya berada di lokasi sebelum didatangi tertuduh yang dikenalinya.

Tertuduh terus mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa dengan meminta wang sebelum menyerahkan RM6.

Sebelum melarikan diri dengan motosikal, tertuduh juga sempat merampas sebuah beg galas milik mangsa.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini ada melaporkan akibat terdesak mendapatkan wang dipercayai untuk membeli dadah, seorang lelaki bertindak menyamun wang sebanyak RM6 milik seorang buruh.

Suspek bertindak mengacukan sebilah pisau ke arah mangsa sambil meminta wang dan mangsa yang bimbang suspek bertindak agresif menyerahkan wang RM6.