Pertumbuhan KDNK 2020 lebih baik daripada jangkaan

Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2020 adalah lebih baik daripada jangkaan dengan ekonomi negara telah menunjukkan pelbagai tanda-tanda pemulihan, kata Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Malaysia mencatat penyusutan 3.4 peratus bagi suku keempat 2020 ketika peningkatan ketara kes jangkitan Covid-19, sekali gus menjadikan prestasi keseluruhan tahun tersebut kepada -5.6 peratus berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan serta penutupan sempadan di peringkat global.

“Penguncupan ini adalah lebih baik berbanding unjuran awal oleh organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF (-5.8 peratus), Bank Dunia (-5.8 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0 peratus),” kata beliau dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata langkah segera kerajaan melaksanakan inisiatif di bawah empat pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM305 bilion atau 20 peratus daripada KDNK, dianggarkan telah menyumbang sebanyak empat mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi bagi 2020.

Malah, kata beliau, kawalan disiplin fiskal negara, prospek pertumbuhan jangka masa sederhana yang mampan serta keberkesanan langkah kerajaan membendung penularan wabak Covid-19, turut diiktiraf oleh agensi penarafan kredit antarabangsa, Moody's yang telah mengekalkan penarafan Malaysia pada tahap A3 dengan unjuran stabil pada Januari lepas.

“Secara keseluruhannya, kedudukan kewangan dan prospek Malaysia kekal teguh di sebalik kitaran penilaian penarafan kredit yang mencabar di peringkat global sepanjang 2020,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, penurunan KDNK 1.7 peratus pada Disember 2020 juga adalah lebih baik berbanding 4.0 peratus pada bulan sebelumnya.

Beliau menyifatkan prestasi tersebut sebagai membuktikan keberkesanan inisiatif segera kerajaan di bawah Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin) yang telah disalurkan pada suku keempat 2020 seperti Geran Khas Prihatin 2.0, Program Subsidi Upah 2.0 dan Bantuan Prihatin Nasional 2.0.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, negara turut mencatat kadar pengangguran yang lebih rendah serta merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.0 peratus setahun dalam sektor pembuatan, sekali gus mengimbangi penguncupan sektor-sektor lain, kata beliau.

Menurutnya, jumlah perdagangan negara berkembang kepada RM483 bilion pada suku keempat 2020 berbanding RM460.9 bilion yang dicatatkan dalam suku sebelumnya.

Malah, Tengku Zafrul menegaskan bahawa Malaysia masih mengekalkan lebihan dagangan untuk 23 tahun berturut-turut, merekodkan sebanyak RM59.9 bilion pada suku keempat berbanding RM60.3 bilion pada suku ketiga.

“Jumlah pelaburan langsung asing menunjukkan aliran masuk bersih sebanyak RM6.1 bilion untuk tempoh sama manakala pembiayaan bersih terus berkembang sebanyak 4.4 peratus sepanjang suku keempat 2020 melalui peningkatan penerbitan bon korporat.

“Selain itu, keperluan modal kerja serta pembelian kereta penumpang dan tempat kediaman terus meningkatkan pengeluaran pinjaman kepada rakyat dan juga perniagaan, mencerminkan pemulihan permintaan yang baik,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Tengku Zafrul berkata Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang berkuat kuasa hampir di seluruh negara sejak 13 Januari, 2021 dan dilanjutkan hingga 18 Februari ini, pasti memberi kesan kepada pertumbuhan KDNK negara bagi suku pertama 2021.

Bagaimanapun, jelas beliau, kadar kerugian yang dianggarkan berjumlah RM700 juta sehari tidak seburuk kesan PKP 1.0 iaitu sebanyak RM2.4 bilion sehari.

Dalam pada itu, beliau juga menjangkakan inisiatif Belanjawan 2021 yang sudah mula dilaksanakan dan langkah segera kerajaan melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion, dapat mengurangkan impak PKP 2.0.

“Kerajaan juga yakin bahawa pelaksanaan Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sistematik dan berkesan akan mendorong pembukaan pelbagai sektor ekonomi, pemulihan sentimen pengguna dan seterusnya pertumbuhan serta daya tahan ekonomi Malaysia,” katanya. - Bernama