Padah promosi perkahwinan seawal usia 12 tahun

Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI) mendakwa Aisha Weddings mencabuli hak golongan itu kerana mempromosikan perkahwinan di bawah umur. Foto: Agensi
Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI) mendakwa Aisha Weddings mencabuli hak golongan itu kerana mempromosikan perkahwinan di bawah umur. Foto: Agensi
A
A
A

JAKARTA - Polis Indonesia sedang menyiasat perunding majlis perkahwinan yang mempromosikan perkahwinan kanak-kanak dan yang tidak didaftarkan.

Aisha Weddings didakwa menggalakkan kanak-kanak perempuan seawal 12 tahun berkahwin awal untuk 'melayani suami mereka'.

Jurucakap polis, Rusdi Hartono berkata, Jabatan Siasatan Jenayah telah melancarkan siasatan selepas menerima aduan daripada Suruhanjaya Perlindungan Kanak-Kanak Indonesia (KPAI).

Menurut Timbalan Pengerusi KPAI, Rita Pranawati, tindakan Aisha Weddings menggunakan gambar kanak-kanak sebagai sebahagian daripada promosi juga jelas mencabuli hak golongan itu kerana ia mempromosikan perkahwinan di bawah umur.

"Anda perlu bergantung kepada lelaki pada usia muda untuk mempunyai keluarga yang stabil dan bahagia. Jangan jadi beban kepada ibu bapa anda. Cari suami segera!' menurut kenyataan dipaparkan pada laman web mereka yang turut menegaskan gadis perlu berkahwin antara umur 12 dan 21 tahun.

Aisha Weddings tersebut turut menyediakan perkhidmatan untuk membantu para ibu bapa mencari calon suami untuk anak perempuan mereka bagi mendapatkan kehidupan lebih baik.

"Ibu bapa yang mahu mencari calon suami anak mereka boleh menghubungi kami. Hantarkan gambar dan biodata si gadis," ujarnya.

Di bawah undang-undang negara itu yang berkuat kuasa sejak 2019, usia gadis atau lelaki yang dibenarkan berkahwin dengan mendapat persetujuan ibu bapa mereka adalah pada usia 19 tahun.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, perkahwinan kanak-kanak tidak berdaftar masih berlaku secara berleluasa di bawah nikah siri (kahwin rahsia) yang dijalankan mengikut undang-undang Islam. - Agensi