Pusat Mediasi Covid-19 permudah proses pertikaian

Kerajaan menubuhkan PMC-19 bagi memudahkan proses mediasi antara pihak bertikai daripada ketidakupayaan melaksanakan kewajipan kontrak akibat pelaksanaan PKP.
Kerajaan menubuhkan PMC-19 bagi memudahkan proses mediasi antara pihak bertikai daripada ketidakupayaan melaksanakan kewajipan kontrak akibat pelaksanaan PKP.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menubuhkan Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) bagi memudahkan proses mediasi antara pihak bertikai daripada ketidakupayaan melaksanakan kewajipan kontrak akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

PMC-19 dalam satu kenyataan berkata, nilai pertikaian untuk proses mediasi itu adalah tidak melebihi RM500,000.

"Mediasi merupakan suatu proses perundingan yang dijalankan secara sukarela, cepat dan berkesan tanpa melalui proses mahkamah," kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu, proses mediasi juga merupakan salah satu kaedah penyelesaian di bawah kategori penyelesaian pertikaian secara alternatif (Alternative Dispute Resolution - ADR).

"Mediasi boleh dijalankan antara dua pihak atau lebih dengan cara mendapatkan bantuan pihak ketiga yang terlatih dan tidak berat sebelah iaitu mediator untuk membantu pihak-pihak merundingkan perjanjian yang saling menguntungkan dan boleh diterima," katanya.

Kenyataan itu berkata, peranan mediator adalah untuk memudah cara dan membantu mencari jalan penyelesaian bagi pihak-pihak yang bertikai.

"Persetujuan yang diperolehi akan direkodkan secara bertulis sebagai Perjanjian Penyelesaian, ditandatangani dan bersifat mengikat pihak-pihak-pihak yang bertikai," katanya.

PMC berkata, terdapat banyak faktor amalan mediasi digunakan berbanding menyelesaikan pertikaian melalui litigasi.

Artikel Berkaitan:

"Kos mediasi adalah lebih rendah dan memakan masa singkat berbanding kos serta proses keseluruhan litigasi," katanya.

Menurutnya, kelebihan proses mediasi yang paling ketara adalah jaminan kerahsiaan.

"Semua maklumat, konsesi, pendedahan dan pengakuan yang dibuat semasa keseluruhan proses mediasi adalah tanpa prejudis, sulit dan hanya terhad kepada pihak-pihak dan mediator yang terlibat," katanya.

Justeru, kata kenyataan itu, kerajaan berhasrat untuk memperkasakan penyelesaian kepada pihak bertikai dengan menyediakan platform penyelesaian yang bersifat menang-menang.

"Kerajaan telah membangunkan sebuah portal iaitu http://www.pmc19.gov.my/ untuk menerima permohonan mediasi di bawah PMC-19.

"Portal ini boleh dianggap sebagai yang pertama seumpamanya di Malaysia di mana aplikasi mediasi diformalkan melalui pendigitalan," katanya.