X

Kindly register in order to view this article
!

341 peniaga gajet diberi notis

Rosol (kanan) meninjau pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2021 di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenakan notis terhadap 341 peniaga kelengkapan elektronik dan komunikasi di seluruh negara.

Notis berkenaan adalah untuk siasatan lanjut sekiranya wujud isu pencatutan barangan berkenaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, ia susulan pemeriksaan terhadap 343 peniaga membabitkan sebanyak 651 barangan elektronik dan telekomunikasi baru-baru ini.

Beliau berkata, notis itu dikeluarkan bagi melihat sekiranya wujud elemen mengambil untung berlebihan.

"Ia bagi kita mendapatkan maklumat harga dan kos belian barangan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2017 sepanjang Ops Catut 8.0 yang bermula 25 Januari hingga 7 Februari lalu.

"Jika siasatan menunjukkan peniaga menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya tanpa mematuhi perundangan ditetapkan, tindakan lanjut boleh diambil mengikut Seksyen 14 AKHAP 2011 kerana kesalahan mencatut.

"Jika sabit kesalahan, denda sehingga RM500,000 akan dikenakan terhadap perbadanan. Jika bukan perbadanan, boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika melakukan tinjauan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2021 di sebuah pasar raya di sini pada Khamis.

Turut hadir, Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia.

Rosol berkata, KPDNHEP menyedari permintaan tinggi terhadap komputer riba, telefon bimbit, mesin pencetak dan tablet susulan pelaksanaan Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

"Peranti elektronik dan telekomunikasi sebenarnya tidak tertakluk sebagai barang kawalan, tapi kita tetap melakukan pemantauan bagi memastikan hak pengguna terpelihara dan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, sebanyak 5,622 premis perniagaan di seluruh negara diperiksa sempena SHMMP Tahun Baru Cina 2021 meliputi sebanyak 5,449 premis runcit dan 173 premis borong.

Hasil daripada pemeriksaan itu, katanya, sebanyak 56 kes dikesan membabitkan kesalahan tidak mempamerkan tanda harga iaitu sebanyak 21 kes, selain gagal guna tanda harga khas (34 kes) dan menjual melebihi harga maksimum (satu kes).

Katanya, jumlah sitaan keseluruhan ialah RM2,559.85 dan jumlah kompaun sebanyak RM6,450.

"Kita mengingatkan peniaga supaya mematuhi peraturan ditetapkan di bawah pelaksanaan SHMMP termasuk tidak menaikkan harga barang kawalan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!