Pengundi DUN Semenyih fail saman pemula terhadap SPR

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pengundi berdaftar di DUN Semenyih, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menuntut pelbagai deklarasi, antaranya fungsi badan itu yang kini hanya dikendalikan oleh seorang ahli sejak 18 Januari lalu.

Saman itu difailkan secara dalam talian menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Selain SPR, saman itu turut menamakan Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun sebagai defendan pertama dan kerajaan Persekutuan selaku defendan ketiga.

Peguam plaintif, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, melalui saman pemula tersebut, enam perkara dituntut dan berharap mahkamah dapat bersidang sebelum tarikh penamaan calon pada 16 Februari ini.

Beliau berkata, menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan dan Akta SPR secara jelas mentafsirkan bahawa keanggotaan SPR mesti terdiri daripada tujuh ahli tetapi apa yang berlaku sekarang ia dikendalikan oleh seorang individu.

"Antara lain saman ini adalah menuntut perintah deklarasi bahawa setakat tarikh tindakan ini, identiti defendan kedua (SPR) adalah tidak wujud dan tidak sah, atau tidak berperlembagaan selepas 1 Januari 2019 menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Kedua memohon perintah deklarasi bahawa mesyuarat SPR yang bertarikh 18 Januari yang dipengerusikan oleh Azhar Azizan seorang diri tanpa keanggotaan Timbalan Pengerusi dan lima ahli lain adalah tidak sah, batal serta melanggar Fasal 114 (1).

"Ketiga injunksi untuk menghalang SPR daripada bermesyuarat atau meneruskan apa-apa tindakan bagi melaksanakan pilihan raya kecil DUN Semenyih sehingga keanggotaan penuh SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam sidang media di lobi mahkamah, hari ini.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Fungsi SPR tidak terjejas

Dalam satu kenyataan pada 18 Januari lalu, Azhar mendakwa fungsi SPR tidak terjejas walaupun suruhanjaya itu kini hanya mempunyai pengerusi sahaja.

Jelasnya, SPR masih boleh berfungsi meskipun hanya tinggal dirinya seorang, malah segala keputusan dibuat adalah sah dan dibenarkan Perlembagaan Persekutuan.

Tambahnya, ia selaras dan mengikut nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara pada 28 Disember tahun lalu dan bagi penjelasan lanjut, Perkara 114(1) Perlembagaan Persekutuan hendaklah dibaca bersama Perkara 114 (7).