Kru warga asing dalam bot nelayan tempatan tiada permit

Bot nelayan tempatan ditahan pada Rabu selepas hasil pemeriksaan mendapati beroperasi dengan lesen tamat tempoh. Foto APMM Zon Kemaman
Bot nelayan tempatan ditahan pada Rabu selepas hasil pemeriksaan mendapati beroperasi dengan lesen tamat tempoh. Foto APMM Zon Kemaman
A
A
A

KEMAMAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kemaman menahan sebuah bot nelayan tempatan atas pelbagai kesalahan dalam Ops Iman yang dilaksanakan di perairan Terengganu pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot nelayan tempatan Kelas C itu ditahan pada jarak lebih kurang 18 batu nautika barat daya dari Kuala Kemaman pada jam 2 petang.

"Pemeriksaan lanjut ke atas bot berkenaan mendapati lima nelayan warga Myanmar termasuk seorang tekong berusia antara 21 hingga 47 tahun.

"Siasatan mendapati bot nelayan tersebut beroperasi menggunakan lesen yang telah tamat tempoh dan kesemua kru warga asing tidak mempunyai permit kerja yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Rashidilhadi berkata, bot bersama kru dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk tindakan lanjut dan akan menjalani saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.

"Kes berkenaan di siasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63," katanya,

Pada masa sama, Rashidilhadi turut mengingatkan pengusaha bot tempatan agar mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang diperuntukkan.

Artikel Berkaitan: