Rakaman jadi bukti

Rakaman yang turut disertakan dengan imej grafik itu memaparkan penyokong Trump menceroboh Capitol pada 6 Januari lalu. - Foto: Agensi
Rakaman yang turut disertakan dengan imej grafik itu memaparkan penyokong Trump menceroboh Capitol pada 6 Januari lalu. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Pengurus Pendakwaan Dewan Perwakilan pada Rabu menayangkan rakaman tidak pernah didedahkan sebelum ini yang memaparkan tindakan ganas penyokong bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sewaktu menceroboh Capitol pada 6 Januari lalu ketika prosiding perbicaraan ke atas beliau bermula.

Video insiden rusuhan ganas itu berdasarkan rakaman kamera badan anggota keselamatan di Capitol dan pihak berkuasa yang bertugas yang turut memaparkan bagaimana anggota Kongres yang ketika itu sedang bersidang untuk mengesahkan kemenangan Joe Biden meninggalkan dewan secara tergesa-gesa kerana cuba menyelamatkan diri masing-masing.

Kesemua rakaman video disertakan garis masa bersama grafik tersebut dikemukakan oleh Pengurus Pendakwaan Dewan Perwakilan yang membuktikan Trump bertanggungjawab menghasut pencerobohan ganas tersebut untuk sebagai cubaan menghalang Kongres mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Presiden AS 2020 yang menyaksikan kekalahannya.

Menurut mereka, Trump menghabiskan masa selama beberapa bulan menyebarkan pembohongan kononnya beliau mangsa penipuan undi hingga para penyokongnya terpedaya dan cuba menghalang kemenangan Biden.

"Kumpulan perusuh itu bertindak sedemikian kerana Trump menghantar mereka di bawah 'misi' dirancang beliau," kata pihak pendakwa, Stacey Plaskett.

Rakaman itu juga mendedahkan perusuh melaungkan slogan 'gantung Mike Pence' selepas bekas Naib Presiden itu menolak desakan Trump supaya membatalkan keputusan kemenangan Biden.

Sementara itu, anggota Kongres di Texas, Joaquin Castro menegaskan Trump tidak mengambil sebarang langkah untuk menghentikan keganasan itu.

"Setakat ini, anda sudah lihat kesemua bukti. Ia jelas, Trump sengaja mahu biarkan semua orang di Capitol 'mati' di tangan para penyokongnya. Trump telah memuat naik tweet sebanyak 16 kali antara tengah malam pada 5 Januari dan pada hari kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Mesej beliau jelas; berjuang, kekal kuat, terus kuat. Namun apabila keganasan itu tercetus, beliau tidak sekali pun meminta mereka menghentikan tindakan itu dan tidak membuat keputusan untuk mengerahkan pasukan Pengawal Negara bagi mengawal situasi," ujarnya.

Difahamkan, pasukan pembelaan Trump mempunyai tempoh selama 16 jam untuk mengemukakan hujah balas.

Dalam satu kenyataan, David Schoen dan Bruce Castor dengan yakin menyatakan rakaman video dan bukti lain yang dikemukakan Demokrat tidak membuktikan Trump bersalah seperti didakwa mereka. - Agensi