Sejam pujuk lelaki bogel mengamuk bawa parang

Lelaki dipercayai kurang siuman didapati mengamuk dan memegang parang di Taiping pada Rabu.
Lelaki dipercayai kurang siuman didapati mengamuk dan memegang parang di Taiping pada Rabu.
A
A
A

TAIPING - Polis berjaya memujuk seorang lelaki bogel dipercayai kurang siuman yang mengamuk sambil memegang sebilah parang dalam kejadian berhampiran Rumah Hijau di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner, Osman Mamat berkata, anggota Balai Polis Taiping bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai tindakan lelaki berusia 43 tahun itu kira-kira jam 6.54 petang.

“Dalam kejadian itu, suspek yang tidak berpakaian dilihat memegang sesuatu yang dibaluti kain.

"Ketika anggota cuba memujuknya untuk memakai seluar, suspek bertindak membuka balutan kain dan mengacukan sebilah parang panjang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini pada Khamis.

Menurutnya, hampir sejam anggota berjaya memujuk suspek dan menahannya sebelum dibawa mendapatkan rawatan setelah didapati ada kesan cedera di kaki.

“Siasatan mendapati suspek pernah mendapatkan rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan.

“Suspek dikatakan tidak mengambil ubat penenang ketika kejadian. Suspek kini di tempatkan ke Hospital Taiping untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Osman berkata, tiada sebarang kecederaan pada orang awam atau anggota dilaporkan dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, mayat lelaki yang sudah tinggal rangka ditemui berhampiran sebuah pondok di kebun durian di Changkat Jering pada Khamis.

Osman berkata, rangka manusia yang dipercayai sudah mati lebih sebulan ditemukan oleh pemilik kebun kira-kira jam 8.45 pagi.

“Hasil siasatan mendapati mangsa berusia 39 tahun merupakan pekerja yang diupah untuk meracun di kebun berkenaan dan mayat telah dicam oleh waris mangsa.

“Polis tidak menerima sebarang laporan kehilangan mangsa. Rangka dibawa ke hospital untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian,” katanya.

Tambah beliau, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga menerima laporan bedah siasat.