Kadar kematian nahas jalan raya turun 4.8 peratus setahun

Kenyataan MOT yang turut dimuat naik di Facebook rasmi kementerian itu pada Khamis.
Kenyataan MOT yang turut dimuat naik di Facebook rasmi kementerian itu pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2014-2020 (PKJRM 2014-2020) berjaya menurunkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya dengan purata penurunan 4.8 peratus setahun.

Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan berkata, penurunan itu antara tahun 2016 yang merekodkan sebanyak 7,152 kematian hingga tahun 2019 yang mencatatkan 6,167 kematian.

Menurut kenyataan itu, sasaran penurunan indeks kematian juga telah dicapai iaitu daripada 3.4 peratus pada tahun 2010 kepada 1.97 pada tahun 2019 berbanding sasaran 2.0 yang diletakkan.

Katanya, pencapaian dan kejayaan PKJRM 2014-2020 merupakan hasil kerjasama dan sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan semua lapisan masyarakat.

"Semua program, inisiatif, langkah intervensi di bawah PKJRM 2014-2020 yang telah berjaya dilaksanakan akan diteruskan dan ditambah baik dalam PKJRM 2021-2030.

"Pelan ini sedang dalam proses pembangunan oleh MOT dan dijangka akan dilancarkan dalam suku ketiga tahun ini," katanya dalam satu kenyataan yang turut dimuat naik di Facebook rasmi kementerian itu pada Khamis.

MOT memaklumkan, berdasarkan statistik tahun 2010 hingga 2019 yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), secara puratanya lebih 500,000 kes kemalangan jalan raya dilaporkan setiap tahun dengan melibatkan hampir 7,000 kematian.

Katanya, setiap kemalangan jalan raya akan melibatkan kos yang besar kepada negara termasuk kos perubatan, kos pembaikian infrastruktur, peningkatan kos menjalankan perniagaan dan kos akibat kehilangan produktiviti.

Artikel Berkaitan:

"Perkara paling besar adalah kehilangan nyawa yang akan memberi kesan sosial yang amat negatif kepada waris atau keluarga mangsa," katanya.

MOT berkata, berikutan itu pihaknya sebelum ini memperkenalkan PKJRM 2014-2020 yang merupakan kesinambungan kepada PKJRM 2006-2010.

"PKJRM 2014-2020 digubal mengandungi lima fokus utama termasuk pengurusan keselamatan jalan raya, pengguna jalan raya yang lebih selamat dan pengurusan kemalangan.

"Kesemua bidang utama ini mengandungi pelbagai inisiatif, program dan langkah intervensi bertujuan meningkatkan kesedaran dan pematuhan kepada undang-undang seterusnya menyumbang kepada tahap keselamatan di jalan raya," katanya.