Covid-19: 3,384 kes baharu, 13 kematian

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Sebanyak 3,384 kes baharu Covid-19 dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu menjadikan angka keseluruhan kes positif jangkitan itu berjumlah 254,988.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 13 lagi kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif 936 kes sementara kes sembuh harian pula sebanyak 3,774 kes.

"Setakat ini, terdapat 51,783 kes aktif," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Dr Noor Hisham, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 3,369 merupakan jangkitan tempatan dan baki adalah kes import.

Selangor kekal mencatat jumlah kes baharu harian tertinggi sebanyak 1,082, diikuti Johor dengan 777 kes, Kuala Lumpur (435), Kedah (228), Sarawak (184), Pulau Pinang (144), Sabah (142) dan Melaka (101).

Sementara itu, Negeri Sembilan merekodkan 89 kes baharu, Perak (82), Kelantan (48), Terengganu (26), Pahang (21), Labuan (14) manakala Putrajaya pula melaporkan tujuh kes sementara Perlis, empat kes.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa ini terdapat 259 kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 122 memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau berkata, sebanyak 17 kluster baharu dilaporkan dengan 13 membabitkan kluster tempat kerja di Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Kedah.

Artikel Berkaitan:

Kluster tempat kerja di Selangor ialah Kluster Subang Delima, Jalan Bukit Sentosa dan Tapak Bina Lembah Subang manakala di Johor pula ialah Kluster Jalan Air Hitam, Jalan Perindustrian Getah, Kampung Tanjung Selabu, Jalan Raja Muar serta Jalan Gemilang Lima.

‘’Kluster tempat kerja di Kuala Lumpur ialah Kluster Jalan Berhala, Jalan Telawi dan Bukit Angkasa manakala di Kedah pula Kluster Perdana dan Dedap.

‘’Empat kluster lain ialah Jalan Bakawali Ramun (Johor) dan Nanga Lijan (Sarawak) bagi kategori komuniti, Jalan Bukit Baru (Melaka) bagi kumpulan berisiko tinggi dan Tembok Bendera (Perak) bagi pusat tahanan,’’ katanya.

Beliau berkata, sebanyak enam kluster tamat pada Khamis manakala jumlah yang masih aktif ialah 477 kluster. - Bernama