Geng Ah Fatt menyamar polis ketika samun tumpas

Osman (tengah) memegang pistol dan gari yang dirampas daripada geng Ah Fatt ketika sidang akhbar di Taiping pada Khamis.
Osman (tengah) memegang pistol dan gari yang dirampas daripada geng Ah Fatt ketika sidang akhbar di Taiping pada Khamis.
A
A
A

TAIPING - Polis menumpaskan kumpulan samun yang menyamar sebagai polis dengan tertangkap 14 ahli termasuk dua wanita dalam operasi khas di sini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, geng Ah Fatt berusia antara 20 hingga 39 tahun itu ditahan sekitar negeri ini sejak Januari lalu.

“Modus operandi kumpulan yang dipercayai aktif sejak Ogos tahun lalu melakukan jenayah samun dengan mengaku sebagai polis dengan memakai jaket polis serta menggunakan gari untuk menakutkan mangsa.

“Kumpulan ini menggunakan motosikal dan kereta yang berlainan semasa melakukan jenayah.

“Hasil maklumat dijalankan mendapati kumpulan diketuai lelaki dikenali sebagai Ah Fatt yang berperanan merekrut dan merancang kegiatan jenayah kumpulan ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping di sini pada Khamis.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai senjata termasuk pistol, pedang samurai, parang panjang dan beberapa peralatan pecah rumah.

“Turut dijumpai sepasang gari, sehelai pakaian seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), jaket polis dan jaket PLUS.

“Polis merampas lima kereta, 21 telefon bimbit, pelbagai dokumen pengenalan diri, nombor pendaftaran palsu, logo jata pelbagai jenis, dadah jenis heroin dan pil kuda dengan nilai keseluruhan RM600,000,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berikutan tangkapan itu, Osman berkata, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 25 kes melibatkan beberapa daerah di Perak dan Selangor.

“Kesemua suspek direman sehingga Ahad ini untuk disiasat mengikut Seksyen 396/397, Seksyen 170, Seksyen 457 dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengena lpasti ahli kumpulan yang masih bebas,” katanya.

-end-