Ceroboh hutan simpan tanam ketum

Abdul Khalim (dua dari kanan) menunjukkan gambar lokasi serbuan yang membawa kepada penemuan pokok ketum.
Abdul Khalim (dua dari kanan) menunjukkan gambar lokasi serbuan yang membawa kepada penemuan pokok ketum.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menahan tiga lelaki selepas didapati menceroboh kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Terah, Gua Musang untuk menanam pokok ketum.

Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah berkata, kegiatan tiga lelaki tempatan berusia 25 hingga 33 tahun itu dikesan oleh sepasukan anggotanya dalam satu serbuan Op Khazanah, hasil maklumat awam pada jam 10 pagi Rabu.

Beliau berkata, pada awalnya pihak jabatan hanya menerima maklumat berkaitan pencerobohan hutan namun terkejut apabila mendapati terdapat banyak pokok ketum ditanam di kawasan seluas lebih satu hektar.

"Ketika serbuan di sebuah rumah usang di situ, anggota JPNK mendapati ada dua lelaki sedang tidur dan disyaki khayal dadah. Pada masa sama ada lagi seorang lelaki menaiki motosikal tiba di situ dengan tujuan berjumpa dengan dua lelaki berkenaan, namun dia turut ditahan kerana menceroboh HSK.

“Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu menemukan selaras senapang buatan sendiri bersama tiga peluru hidup, peralatan memasak daun ketum, cecair ketum dan cecair disyaki ubat batuk," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini pada Khamis.

Abdul Khalim berkata, ia merupakan kali pertama pihaknya mengesan kegiatan individu yang menjadikan kawasan HSK sebagai tempat penanaman ketum.

Jelasnya, kawasan itu turut ditanam dengan pokok getah, durian dan pisang tetapi hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih banyak pokok ketum berbanding tanaman lain.

“Kita percaya kesemua hasil tanaman ketum ini akan dijual kepada pihak lain termasuk kemungkinan ke negara jiran kerana harganya mencecah RM100 bagi sekilogram,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata siasatan juga mendapati suspek mahir dalam teknik penanaman pokok kerana menjumpai anak benih pokok ketum yang disemai menggunakan kaedah tut di dahan pokok.

Menurut Abdul Khalim kawasan berkenaan sebenarnya adalah kawasan penerokaan lama dan pokok-pokok ketum yang ditanam didapati sudah berusia lebih dua tahun berdasarkan saiz batang pokok.

Kesemua lelaki yang ditahan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 47(1) dan Seksyen 81(1) Akta Perhutanan Negara 1984, katanya. - Bernama