Enam warga Bangladesh didenda RM200 main bola ketika PKP

Kesemua tertuduh mengaku bersalah bermain bola ketika PKP di sebuah taman di Damansara Kim pada 29 Januari lepas.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah bermain bola ketika PKP di sebuah taman di Damansara Kim pada 29 Januari lepas.
A
A
A

PETALING JAYA - Akibat bermain bola dan berkumpul di sebuah taman pemainan awam di sini semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), enam lelaki warga Bangladesh didenda masing-masing RM200 atau penjara dua hari oleh Mahkamah Majistret pada Khamis.

Majistret, Muhammad Iskandar Zainol menjatuhkan hukuman itu selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di sebuah taman di Damansara Kim pada 8.13 malam, 29 Januari lepas.

Mereka ialah Tusar Ahamad, 30, Md Azad Ali, 26, Md Juwel Islam, 24, Mohammad Sumon, 31, Md Alla Uddin, 27, dan Md Sharif Uddin, 23, masing-masing bekerja sebagai buruh binaan dan pembantu kedai.

Mereka didakwa bersama-sama telah gagal mematuhi arahan dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, bagi mencegah dan mengawal apa-apa penyakit dengan bermain bola dan berkumpul di taman permainan awam yang merupakan satu kesalahan di bawah Peraturan 10(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.

Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh yang direman sejak 29 Januari lepas dikemukakan mengikut Peraturan 16(1) peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga sebulan atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran manakala kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan itu adalah kesalahan pertama mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: