Sultan Selangor ingatkan rakyat jauhi tempat sesak, jaga jarak

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan ucapan Tahun Baru Cina kepada semua yang meraikannya. - Foto FB Selangor Royal Office
Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan ucapan Tahun Baru Cina kepada semua yang meraikannya. - Foto FB Selangor Royal Office
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan rakyat negeri ini supaya menjauhkan diri dari tempat sesak dan sempit serta menjaga jarak ketika sambutan Tahun Baharu Cina disambut pada Jumaat.

Menerusi perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dikeluarkan Istana Alam Shah pada Khamis, baginda turut mengharapkan rakyat tenang namun berjaga-jaga ketika kerajaan melaksanakan langkah-langkah untuk memastikan setiap orang selamat dan sihat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Baginda mengingatkan orang ramai berhubung nasihat Kementerian Kesihatan supaya menjauhkan diri dari tempat sesak dan menjaga jarak ketika berbual dengan tetamu pada sambutan Tahun Baharu Cina.

“Baginda juga mahu kita mengingati pengorbanan dilakukan pasukan barisan hadapan termasuk anggota penguat kuasa undang-undang, kakitangan hospital, tukang cuci dan lain-lain yang terus memastikan negara kita selamat ketika wabak (Covid-19),” katanya dalam kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sebelum itu berkenan menyampaikan ucapan Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikannya.

Baginda bertitah, menginginkan kehidupan dan negara yang lebih baik serta kesejahteraan pada Tahun Baharu Lunar.

“Baginda mengatakan bahawa Tahun Baharu Cina adalah masa untuk keluarga berkumpul dan mengeratkan hubungan mereka.

“Tradisi indah yang diturunkan dari generasi ke generasi membantu untuk mengingatkan anak muda kita tentang kepentingan keluarga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Baginda dalam pada itu turut mendoakan kesihatan, keselamatan, kejayaan dan kebahagiaan rakyat pada tahun baharu.

“Semoga kekayaan dan kemakmuran sentiasa berpihak kepada anda. Gong Xi Fa Chai!,” titah baginda.