RAT mulakan penugasan sekitar Lembah Klang

Mohd Khairi memantau pematuhan orang awam dalam mengikut SOP pada program ‘Jeneral Turun Padang’ sempena Op Covid-19 PKP di SJR Tol Kuala Kangsar.
Mohd Khairi memantau pematuhan orang awam dalam mengikut SOP pada program ‘Jeneral Turun Padang’ sempena Op Covid-19 PKP di SJR Tol Kuala Kangsar.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Pasukan Gempur Pantas atau Rapid Assault Team (RAT) memulakan tugasan sekitar Lembah Klang dengan menunggang aset baharu bagi menangani ancaman keganasan dan kegiatan jenayah berat.

Komander Unit Tindak Khas (UTK), Senior Asisten Komisioner Mohd Khairi Khairuddin berkata, 12 anggota menunggang motosikal jenis BMW R 1250 GS setiap hari berperanan untuk mengambil tindakan pantas terutama di kawasan sesak.

“Sebelum ini kita menggunakan kereta tapi di bandar, ia lebih sesuai kepada motosikal kerana lebih mudah bergerak terutama pada waktu puncak dengan jalan sesak.

“RAT sudah mula berkuat kuasa setiap hari dengan penugasan melibatkan kawasan Kuala Lumpur sahaja kerana UTK berpusat di sini, tidak di negeri-negeri lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas program ‘Jeneral Turun Padang’ sempena Op Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sekatan Jalan Raya Tol Kuala Kangsar di sini pada Khamis.

UTK menerima 24 motosikal BMW R1250 GS bagi tujuan penambahbaikan penugasan pada 12 November lalu.

Mohd Khairi berkata, program turun padang itu adalah untuk melihat aspek kebajikan dan memberi semangat kepada anggota dan pegawai yang bertugas di lapangan.

“Pada masa sama, lawatan ini juga memantau pematuhan orang awam mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan dalam menangani Covid-19.

“Tujuan lawatan ini juga adalah memberi motivasi kepada anggota bertugas dan kita faham mereka ini telah bertugas agak lama sejak PKP dilaksanakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Deputi Superintendan Zahiri Hassan berkata, sebanyak 235 kompaun dikeluarkan Polis Daerah Kuala Kangsar sepanjang tempoh pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu.

“Sejumlah 202 kompaun dikeluarkan tahun 2020 dan tahun ini, sebanyak 33 kompaun dikeluarkan setakat ini.

“Daripada jumlah itu, 92 orang masih belum melunaskan kompaun itu sejak tahun lalu. Kompaun banyak dikeluarkan kerana sikap masyarakat yang masih sambil lewa dalam pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial (fizikal),” katanya.