Dua beranak, seorang lelaki diberkas edar dadah

Antara dadah yang dirampas daripada sindiket dalam satu serbuan di PJS 10 dan Sungai Way pada Rabu.
Antara dadah yang dirampas daripada sindiket dalam satu serbuan di PJS 10 dan Sungai Way pada Rabu.
A
A
A

PETALING JAYA - Dua beranak dan seorang lelaki disyaki mengedar dadah di sekitar Lembah Klang diberkas secara berasingan di PJS 10 dan Sungai Way di sini Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan ibunya berusia 49 tahun di PJS 10 pada jam 12.30 tengah hari.

"Kita merampas 40 peket plastik disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 62 gram, dua paket plastik disyaki dadah syabu (3 gram).

"Keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM 1,900 dan kita turut merampas sebuah Kereta jenis Hyundai Atos," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Nik Ezanee berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki itu mempunyai tujuh rekod kes dadah, manakala ibunya mempunyai tiga rekod kes dadah.

"Dua beranak ini mula melibatkan diri dalam pengedaran dadah di kawasan Kuala Lumpur dan Selangor sejak setahun yang lalu," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat, pihaknya memberkas seorang lelaki berusia 22 tahun di Sungai Way pada 8.30 malam pada hari yang sama.

"Kita percaya suspek ini juga ahli dalam sindiket pengedaran dadah.

"Kita turut merampas dadah disyaki ganja sberat 2,000 gram bernilai kira-kira RM7,000 dan sebuah kereta jenis Honda Insight," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Ezanee berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Siasatan lanjut masih dijalankan ke atas suspek bagi mengesan sindiket lain yang terlibat," katanya.