X

Kindly register in order to view this article
!

Tablet murah kehabisan stok

Mohd Ridzuan (tengah) mengiringi Abdul Halim meninjau harga barangan kawalan di Pasaraya AEON di Queensbay pada Khamis.
A
A

GEORGETOWN - Tablet yang berharga murah didapati kehabisan stok di negeri ini menyebabkan pembeli terpaksa membeli model gajet yang lebih mahal susulan permintaan yang tinggi selepas kerajaan melaksanakan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemeriksaan secara berkala yang dijalankan mendapati bekalan tablet berharga RM599 kini kehabisan stok.

Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang aduan kenaikan harga tablet atau komputer riba daripada pengguna.

"Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh pasukan penguatkuasa di premis utama mendapati, bekalan tablet murah telah kehabisan stok, yang tinggal (stok) hanya berharga mahal sahaja.

"Stok mungkin akan sampai lewat kerana permintaan yang amat tinggi susulan pelaksanaan PdPR. Bagaimanapun, kita belum terima sebarang aduan tentang kenaikan harga," katanya pada sidang akhbar selepas pengumuman penentuan harga maksimum barangan harga terkawal skim harga maksimum musim perayaan Tahun Baharu Cina 2021 di Pasar Raya AEON di Queensbay di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Keusahawanan, Datuk Abdul Halim Hussain.

Pada Selasa, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk segera mengawal harga komputer riba dan tablet yang kini dikesan mengalami peningkatan harga sehingga 25 peratus di pasaran.

Abdul Halim mengumumkan penentuan harga maksimum barangan harga terkawal skim harga maksimum musim perayaan Tahun Baharu Cina 2021 di Pasar Raya AEON di Queensbay pada Khamis.
Abdul Halim mengumumkan penentuan harga maksimum barangan harga terkawal skim harga maksimum musim perayaan Tahun Baharu Cina 2021 di Pasar Raya AEON di Queensbay pada Khamis.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kadir berkata, pihaknya menerima laporan bahawa tablet mampu milik berjenama kini dijual pada harga yang lebih mahal selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Mohd Ridzuan berkata, sehingga kini, pihaknya telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21 kepada 22 pemilik premis yang menjual peralatan elektronik di sekitar negeri ini.

"Notis di bawah Seksyen 21 ini dikeluarkan untuk kita membuat perbandingan harga pada tahun ini dengan tahun lalu, selain mendapatkan maklumat harga kos dan mengesan kenaikan harga tablet atau komputer riba tersebut," katanya.

Sebelum ini, KPDNHEP Pulau Pinang telah memeriksa 51 premis perniagaan kelengkapan elektronik bermula dari 25 Januari lalu.

Dalam tempoh itu juga, sebanyak lapan notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 telah dikeluarkan kepada lapan pemilik premis bagi mendapatkan maklumat untuk tujuan siasatan lanjut.

Dalam perkembangan lain, Mohd Ridzuan berkata, sejak pelaksanaan skim harga maksimum sempena Tahun Baharu Cina yang bermula Isnin lalu, sebanyak tujuh peniaga di pasar awam telah dikenakan tindakan kompaun kerana gagal mempamerkan tag merah jampu pada barangan kawalan.

Tambahnya, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan di pasar raya, pasar awam dan lokasi perniagaan yang menjadi tumpuan ramai sepanjang pelaksanaan skim bermula 8 hingga 16 Februari ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!