Malaysia catat lebihan akaun semasa tertinggi RM62.1 bilion

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Malaysia mencatatkan lebihan akaun semasa sebanyak RM62.1 bilion pada 2020, yang tertinggi dalam tempoh sembilan tahun selepas dipacu oleh prestasi akaun barangan yang memberangsangkan termasuk defisit yang lebih kecil dalam pendapatan utama dan sekunder, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, walaupun di tengah-tengah krisis Covid-19 pada 2020, Malaysia masih mampu merekodkan lebihan akaun semasa yang menggalakkan, sebahagian besarnya disokong oleh eksport bersih barangan berjumlah RM139.1 bilion.

"Eksport barangan mencatatkan RM778.2 bilion dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), getah serta produk berasaskan minyak sawit.

"Import barangan, sementara itu, mencecah RM639.1 bilion terutamanya dalam produk E&E, destinasi utama bagi kedua-dua eksport dan import adalah China, Singapura, dan Amerika Syarikat (AS)," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jabatan tersebut hari ini mengeluarkan baki perangkaan pembayaran negara bagi suku keempat dan tahunan 2020.

Akaun semasa negara meneruskan lebihan dengan merekodkan RM19.0 bilion untuk suku akhir 2020, diterajui oleh eksport bersih barangan yang lebih tinggi dan defisit yang lebih kecil dalam pendapatan utama.

Eksport barangan yang menyumbang 91.4 peratus kepada jumlah eksport Malaysia adalah sebanyak RM217.5 bilion berbanding RM204.9 bilion yang dicatatkan semasa suku sebelumnya, disokong oleh eksport minyak sawit, getah termasuk produk berasaskan kimia kepada China, Singapura dan AS.

Sementara itu, perkhidmatan mencatatkan defisit berjumlah RM48.0 bilion pada 2020, defisit tertinggi pernah direkodkan berikutan kesan daripada penutupan sempadan dan sekatan perjalanan dalam usaha menangani Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Mohd Uzir memberitahu, aktiviti berkaitan pelancongan di Malaysia masih bergelut untuk mencari jalan bagi mengekalkan perniagaan mereka memandangkan trafik pelancong antarabangsa merundum.

Oleh itu, perjalanan mencatatkan defisit sebanyak RM7.8 bilion buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun.

Pengangkutan, penyumbang kedua terbesar dalam perkhidmatan, mencatatkan defisit yang lebih tinggi sebanyak RM27.5 bilion berbanding RM25.9 bilion pada 2019.

Bagaimanapun, pandemik turut mencerminkan permintaan yang semakin meningkat untuk aktiviti perniagaan dan membeli-belah dalam talian, ini telah membawa kepada lonjakan eksport perkhidmatan kurier di bawah pengangkutan.

Selain itu, norma baharu bekerja dari rumah serta lonjakan langganan filem dalam talian melalui penstriman telah meningkatkan import perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat.

Ketua perangkawan itu turut menegaskan bagi 2020, pelaburan langsung asing (FDI) menunjukkan aliran masuk bersih sebanyak RM13.9 bilion berbanding RM31.7 bilion sebelum ini. Walaupun terdapat penurunan, kedudukan FDI menambah sebanyak RM14.4 bilion kepada RM703.5 bilion pada 2020.

Sementara itu, pelaburan langsung di luar negara (DIA) mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM14.1 bilion daripada RM26.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Sehingga akhir 2020, Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Malaysia (IIP) mencatatkan kedudukan aset bersih sebanyak RM79.6 bilion manakala rizab antarabangsa berada pada RM432.2 bilion berbanding RM424.0 bilion sebelum ini.

"Sama seperti negara-negara lain, Malaysia telah menempuh senario yang mencabar pada tahun lepas akibat pandemik. Negara ketika ini, masih bertarung dengan jumlah kes Covid-19 yang tinggi.

"Bagaimanapun, pembukaan semula semua sektor perniagaan dengan prosedur operasi standard yang lebih ketat dijangka merangsang semula pemulihan ekonomi pada 2021," katanya.

Mohd Uzir ketika merujuk kepada Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 berkata berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan pada 11 Jan 2021, fasa kedua Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 melalui temu bual secara bersemuka akan dijadualkan semula. - Bernama