28,000 frontliners di Pahang bakal terima suntikan vaksin

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Pahang bakal melaksanakan program suntikan vaksin Covid-19 di bawah fasa satu melibatkan 28,000 petugas barisan hadapan, akhir Februari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu ditetapkan pada Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Rabu.

Menurutnya, penerima suntikan bagi fasa satu itu melibatkan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Task Force Covid-19 Negeri.

"Bagi program suntikan vaksin Covid-19 untuk fasa kedua pula akan bermula April depan melibatkan lebih 360,000 penerima dalam kalangan golongan berisiko tinggi termasuk warga emas 60 tahun ke atas dan penghidap berpenyakit kronik.

"Untuk fasa ketiga pula, lebih 700,000 individu berusia 18 tahun ke atas akan menerima suntikan vaksin itu bermula Mei ini hingga Februari 2022," katanya melalui satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, beliau menjangkakan 1.12 juta rakyat Pahang atau sasaran 70 peratus daripada keseluruhan 1.67 juta penduduk negeri ini bakal divaksinasikan dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Katanya, sebanyak 69 pusat suntikan sedang dikaji kesesuaiannya di seluruh negeri melibatkan hospital, klinik kesihatan, dewan dan bangunan jabatan atau agensi berkenaan.

"Jumlah pemberi suntikan atau vaksinator di negeri ini seramai 578 orang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, semua pihak diminta agar memberi kerjasama sepenuhnya dengan mendapatkan vaksinasi Covid-19 itu menurut tatacara yang ditetapkan, demi memastikan program vaksinasi di negeri ini dapat berjalan lancar dan berkesan.