Siasat segera punca kematian ikan di Sungai Perai

A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Perikanan segera mendedahkan hasil ujian sampel air susulan kejadian ribuan ikan mati di Sungai Perai dalam kejadian pada Selasa lalu.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal dengan kejadian tersebut dan menggesa JAS menjalankan siasatan serta mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Menurutnya, kejadian tersebut dilihat amat serius selain menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana ribuan ikan yang mati merupakan sumber makanan mereka.

"Kita menggesa JAS mengambil tindakan undang-undang yang tegas di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas mereka yang didapati terlibat kerana kes ini amat serius.

"CAP percaya jika masalah ini berlarutan, ia bukan sahaja boleh menyebabkan ikan di dalam sungai tersebut pupus dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan malah akan merebak ke laut berhampiran serta mengancam pembiakan kerang di kawasan itu," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu nasib Sungai Perai menjadi seperti Sungai Juru yang mana ikan, udang dan kerang mati kerana diancam pencemaran sisa toksik dari kawasan perindustrian berhampiran.

Mohideen Abdul Kader
Mohideen Abdul Kader

"Oleh itu, pihak berkuasa berkaitan perlu memberi perhatian serius terhadap masalah ini dan menjadikan Sungai Perai sebagai lokasi tumpuan kerana ia terdedah serta mudah tercemar oleh pelbagai bahan buangan berbahaya.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga meminta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melakukan pemantauan secara menyeluruh bagi memastikan kilang-kilang industri di sepanjang sungai tersebut mematuhi segala peraturan yang termaktub di bawah undang-undang sedia ada," katanya.

Mohideen berkata, pihaknya turut menyokong cadangan Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar agar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dipinda bukan sahaja meningkatkan jumlah penalti maksimum dari RM500,000 kepada RM10 juta malah memberi lebih kuasa kepada agensi itu untuk bertindak di luar waktu pejabat.

Tambahnya, CAP sebelum ini menerima banyak rungutan orang ramai berhubung beberapa kilang industri yang membuang sisa buangan selepas waktu pejabat bagi mengelak dikesan dan diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa.

Pada Rabu, ribuan ikan dilaporkan mati di Sungai Perai, di sini dipercayai berpunca daripada pelepasan air tidak terawat daripada sebuah kilang berhampiran.

Ahli MBSP, David Marshel berkata, pihaknya menerima laporan daripada penduduk di Taman Kimsar, di sini petang Selasa selepas melihat ribuan ikan timbul.

Menurutnya, setakat ini pihaknya menerima maklumat awal berkenaan insiden pelepasan air tanpa dirawat ke dalam Sungai Perai oleh sebuah kilang di tepi sungai terbabit.