KPDNHEP rampas 615 liter diesel

Pasukan KPDNHEP Dungun memeriksa kenderaan dan tong drum yang digunakan untuk mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Dungun, Terengganu. - Foto KPDNHEP.
Pasukan KPDNHEP Dungun memeriksa kenderaan dan tong drum yang digunakan untuk mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Dungun, Terengganu. - Foto KPDNHEP.
A
A
A

DUNGUN - Tindakan pemilik sebuah stesen minyak menjual diesel kepada individu tidak dibenarkan terbongkar selepas stesen itu diserbu dan sebanyak 615 liter minyak diesel dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Dungun pada Rabu.

Hasil serbuan kira-kira jam 1.40 tengah hari itu melibatkan nilai rampasan sebanyak RM1,297.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, semasa serbuan dilakukan seorang lelaki tempatan sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong dram yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Menurutnya, soal siasat yang dijalankan mendapati lelaki berusia 40-an berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada Pengawal Bekalan bagi membeli barangan bersubsidi tersebut.

“Berikutan itu, pasukan KPDNHEP telah merampas 615 liter minyak diesel, tiga tong drum dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan RM72,047 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Saharuddin berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dan risikan selama tiga hari di stesen minyak berkenaan sebelum serbuan dilakukan.

Katanya, ia susulan aduan daripada orang awam berlakunya aktiviti penyelewengan minyak diesel di stesen minyak terbabit.

“Kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu menjual barang kawalan berjadual (diesel) kepada orang yang tidak mempunyai kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala hukuman ke atas syarikat pula adalah denda tidak melebihi RM2 juta jika sabit kesalahan.

“Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.