Malaysia, Peru kerjasama promosi produk pelancongan

Mohamaddin menerima kunjungan hormat Duta Peru ke Malaysia, H.E Guido F.Loayza di pejabatnya, di Putrajaya di sini, hari ini.
Mohamaddin menerima kunjungan hormat Duta Peru ke Malaysia, H.E Guido F.Loayza di pejabatnya, di Putrajaya di sini, hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan bekerjasama dengan Peru bagi mempromosikan produk pelancongan kedua-dua negara meliputi eko pelancongan dan produk kraf serta kebudayaan.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, Malaysia dan Peru mempunyai banyak persamaan dari segi bentuk muka bumi dan cuaca dan ini akan lebih memudahkan kerjasama dibuat terutama bagi memperkenalkan Malaysia ke rantau itu.

“Kita perlu bekerjasama lebih rapat lagi selepas ini bagi mempromosi produk pelancongan kedua-dua negara,” Katanya ketika menerima kunjungan hormat Duta Peru ke Malaysia H.E Guido F.Loayza di pejabatnya di Putrajaya, di sini, hari ini.

Jelas Mohamaddin, untuk permulaan kepada kerjasama, Malaysia berbesar hati untuk menawarkan ruang bagi tarian kebudayaan Peru diadakan pada acara-acara kebudayaan yang dianjurkan kementerian.

“Untuk permulaan, kita menawarkan kepada Peru untuk menyertai acara-acara melibatkan tarian kebudayaan dan untuk mereka turut serta mempersembahkan tarian mereka.

“Pada masa sama Peru turut menawarkan peluang yang sama untuk Malaysia melakukan persembahan kebudayaan dalam acara yang dianjurkan oleh mereka,” Katanya.

Pada pertemuan yang berlangsung hampir satu jam itu, Guido turut menyuarakan pandangannya berkenaan perkembangan kemasukan pelancong ke Malaysia yang dilihat positif.

“Saya membaca laporan berita yang menyatakan bahawa berlaku penurunan kemasukan pelancong di Malaysia, tetapi apa yang saya tahu dan lihat sendiri, pelancong dari seluruh dunia terutama negara asia berpusu-pusu datang ke Malaysia. Sejujurnya rakyat Peru juga suka melancong ke Malaysia,” Katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Guido, melihat kepada petanda positif tersebut, Peru berminat untuk menandatangani perjanjian dengan Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) bagi tujuan promosi bersama.

“Melalui perjanjian yang akan dikendalikan oleh Peruvian Chamber Of Commerce itu nanti، kami boleh membantu mempromosikan Malaysia di Peru. Program pertukaran budaya seperti yang dimaksudkan Mohamaddin sebentar tadi juga merupakan langkah mula yang terbaik buat kedua-dua negara,” katanya.