Manfaatkan kebenaran berlatih

Aidil Sharin (dua dari kanan) menjelaskan para pemainnya bersedia untuk mengharungi SOP latihan yang ketat
Aidil Sharin (dua dari kanan) menjelaskan para pemainnya bersedia untuk mengharungi SOP latihan yang ketat
A
A
A

LANGKAH kerajaan yang membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan-pasukan Liga Malaysia (Liga-M) diadakan mulai Isnin ini dilihat bakal menyemarakkan kembali kehangatan saingan bola sepak tempatan.

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDAFC) Aidil Sharin Sahak berkata, langkah kerajaan itu juga bakal menyaksikan saingan Liga-M yang akan bermula 5 Mac ini dapat diteruskan dan tidak akan menjadi mangsa pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia.

“Pertamanya kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat atas keputusan ini. Kami bersedia mengikut SOP yang akan disediakan nanti.

“Walaupun tempoh masa agak singkat, tetapi apa yang penting, keputusan ini dilihat bakal ‘menghidupkan’ semula sukan bola sepak yang sememangnya diminati ramai.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu arahan terkini daripada pihak atasan kelab khususnya berhubung lokasi latihan berpusat akan diadakan nanti,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada Selasa, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan program latihan berpusat bagi pasukan-pasukan Liga-M, Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Sepak Takraw (STL) diadakan.

Bagaimanapun menurutnya, tempat latihan dan pergerakan atlet perlu dikawal mengikut model gelembung sukan yang telah dirangka oleh Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia (KBS) menerusi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Sementara itu ketua jurulatih PJ City FC, P Maniam berkata, pihaknya akan memanfaatkan tempoh masa yang diberikan kerajaan dalam usaha mempersiapkan pasukan berkenaan menjelang sepak mula Liga-M.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tempoh persiapan pasukan-pasukan Liga-M ini sudah tidak boleh ditunda lagi kerana ia boleh mempengaruhi pemain terutamanya daripada segi kecergasan dan juga stamina.

“Kita sudah tidak boleh tunggu lagi dan kita akan terus mulakan latihan kita pada 15 Februari nanti kerana kita mahu melihat sejauh mana kecergasan pemain kita; itu perkara yang paling penting selain taktikal.

“Walaupun masa yang diberikan agak singkat namun kita tetap akur dengan keputusan daripada kerajaan,” katanya.