Hati-hati beli peranti dalam talian

Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohaideen Abdul Kader
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohaideen Abdul Kader
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam pembelian gajet dan komputer riba untuk kegunaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Presidennya, Mohaideen Abdul Kader berkata, kemunculan perniagaan dalam talian dan proses PdPR ketika ini melonjakkan permintaan bagi penggunaan gajet dan komputer riba.

Menurutnya, pengguna yang mahu membeli peranti atau peralatan itu perlu memastikan tidak menjadi mangsa dalam sebarang penipuan, memeriksa jaminan kualiti peranti yang sah selain mendapat harga yang munasabah.

“Sebaiknya cuba elak beli melalui media sosial kerana risiko untuk menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab lebih tinggi.

“Malah pembeli juga berisiko menjadi mangsa scammer yang menggunakan akaun ‘keldai wang’ selain bermacam helah untuk memperdayakan mangsa,” katanya pada Rabu.

Sinar Harian pada Isnin melaporkan harga komputer riba dan gajet elektronik dikesan melambung tinggi di pasaran dengan kenaikan sehingga 70 peratus kerana permintaan tinggi susulan pelaksanaan proses PdPR.

Permintaan melebihi penawaran menjadi punca stok komputer riba baharu dan terpakai habis di pasaran, malah turut menyebabkan peningkatan harga.

Mohaideen turut menasihatkan orang ramai yang ingin membeli peralatan terpakai atau diperbaharui agar mendapatkannya daripada seseorang yang dikenali dan boleh dipercayai.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat kes mereka yang membeli barangan elektronik daripada negeri lain dan mendapati peralatan itu rosak menyukarkan mereka untuk proses tukar ganti.

“Jika anda membeli daripada seseorang yang dikenali atau tinggal berdekatan, mungkin anda boleh mengujinya sebelum membuat keputusan untuk membelinya,” katanya.