Fungsi NGO mengisi kelompongan kerajaan

Syed Azmi Alhabshi -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
Syed Azmi Alhabshi -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM- Fungsi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ialah untuk mengisi kelompongan yang ada dalam kerajaan bagi memberikan bantuan kepada yang memerlukan.

Aktivis NGO, Syed Azmi Alhabshi berkata, setiap pertubuhan mempunyai kekuatan yang berbeza dalam membantu mengisi kekosongan kerajaan.

Tambahnya, NGO perlu membuktikan bahawa tindakan yang dilakukan adalah berkesan dan menjimatkan serta boleh diguna pakai oleh kerajaan.

“Kekangan NGO amat besar. Jadi, kita punya tugas untuk melihat apakah kekosongan dan bantu. Sebagai contoh, bukan warganegara dan M40 yang baru jatuh menjadi B40.

“Mereka juga perlukan bantuan. Tetapi bagaimana kita nak buat justifikasi dari segi kerajaan. Jadi pihak NGO masuk dulu,” katanya.

(Dari kiri) Ismail selaku moderator, Young Syefura, Syed Azmi pada Wacana siri ke-230 membincangkan topik NGO:Niat Tolong Atau Saja Nak Nama? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR
(Dari kiri) Ismail selaku moderator, Young Syefura, Syed Azmi pada Wacana siri ke-230 membincangkan topik NGO:Niat Tolong Atau Saja Nak Nama? yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa. -Foto Sinar Harian ASRIL ASWANDI SHUKOR

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar Siri ke-230 bertajuk ‘NGO: Niat Tolong Atau Saja Nak Nama?’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Wacana itu turut menampilkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan Pendakwah bebas, Mohamad Amirul Amin Maulana Lokmah Hakim atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Amin sebagai panelis, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Artikel Berkaitan:

Menurut Syed Azmi, teknik bantuan yang diberikan perlu diperhalusi dan lebih tersusun pada masa kini.

“Rakyatnya di sini memang pemurah. Jadi disebabkan pemurah, kita nak kena susun supaya semua orang dapat,” katanya.

Syed Azmi turut mencadangkan, pihak NGO yang ingin membuat bakul makanan membeli daripada kedai runcit setempat.

Ini kerana, katanya, ia dapat membantu dalam menjana ekonomi setempat dan membantu dalam membangunkan ekonomi.