X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat usah khuatir, NPRA luluskan vaksin Covid-19 yang selamat

A
A

KUALA LUMPUR - Menganalisis data untuk memilih vaksin Covid-19 yang terbaik dan tepat buat rakyat Malaysia sangat penting untuk memastikan rakyat yakin terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin.

Atas sebab itu, Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Profesor Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam menegaskan apa sahaja vaksin yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), agensi yang bertanggungjawab meluluskan vaksin, adalah selamat digunakan di negara ini.

"Orang ramai perlu tahu ia adalah lebih rumit (untuk memahami keberkesanan vaksin) daripada hanya (melihat) kepada angka. Inilah sebabnya mengapa NPRA akan menganalisis semua data klinikal, dengan protokol yang berbeza dan akan memutuskan adakah vaksin itu selamat dan berkesan untuk digunakan di Malaysia.

"NPRA bekerja siang dan malam menganalisis semua data ini. Ini bukan proses yang mudah, jadi kita harus memberi mereka masa untuk memastikan bahawa apa sahaja (vaksin) yang mereka luluskan adalah vaksin terbaik untuk kita.

"Pada masa ini, NPRA telah memberikan persetujuan bersyarat kepada vaksin Pfizer. Sekiranya mereka meluluskan vaksin lain dan saya ditawarkan untuk mengambil vaksin, saya dengan senang hati melakukannya,” katanya kepada Bernama.

Dr Mohd Ghows berkata, disebabkan pandemik Covid-19, teknologi RNA (mRNA) messenger, yang telah wujud beberapa tahun yang lepas, kini digunakan untuk pembangunan vaksin dan telah terbukti selamat dan berkesan.

Merujuk kepada vaksin Pfizer dan Moderna yang telah menggunakan teknologi mRNA dan mencapai kadar keberkesanan yang tinggi pada tahap lebih daripada 95 peratus, beliau berkata, teknologi itu jauh lebih mudah dan cepat untuk dibuat (turutan), sambil menambah bahawa bagi jangka masa panjang, vaksin itu juga berkemungkinan lebih murah untuk dihasilkan melalui kaedah mRNA.

"Satu perkara yang sebenarnya telah dilakukan Covid-19 ini adalah, ia merevolusikan teknologi mRNA kerana sebelum ini masyarakat meragui mRNA, namun beberapa vaksin pertama yang dikeluarkan adalah daripada vaksin mRNA, yang telah menunjukkan keberkesanan yang sangat tinggi iaitu Pfizer dan Moderna.

“Sebagai contoh, vaksin baharu mRNA dapat dihasilkan dalam masa kira-kira enam minggu. Begitulah cepatnya kita dapat mengubah turutan mRNA mengikut kepelbagaian varian. mRNA bersifat sintetik, jadi kita boleh menganalisis turutan dan membuat yang baharu berdasarkan varian yang kita mahukan. Selepas Covid-19, banyak vaksin yang akan menggunakan mRNA kerana ia cepat, murah dan juga sangat selamat. Itu adalah kriteria utamanya,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Ghows menasihati orang ramai untuk sentiasa mencari sumber yang tepat dan memeriksa fakta yang berkaitan dengan sebarang maklumat mengenai vaksin Covid-19 seperti laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akaun media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Berdasarkan statistik, beliau berkata, terdapat 138 juta dos vaksin yang telah diberikan di lebih 70 negara di seluruh dunia, tanpa sebarang laporan kematian yang dikaitkan secara langsung dengan vaksin Covid-19.

Beliau bagaimanapun berkata, terdapat individu yang mengalami reaksi alahan setelah divaksinasi, dengan jumlah kes yang rendah dilaporkan.

"Jadi, bagi mereka yang mengalami alahan teruk, mereka harus memberitahu doktor mengenainya. Untuk mengatasi masalah ini, kerana kami tahu terdapat individu yang mempunyai reaksi alahan terhadap vaksin, maka setelah anda mendapat vaksin anda harus menunggu antara 15 hingga 30 minit sebelum pulang, kerana kita mahu doktor memantau sebarang reaksi, (bagaimanapun) kesnya sangat rendah.

"Saya belum pernah mendengar orang berubah menjadi ‘zombi’ atau mereka tumbuh sepasang sayap setelah diberi vaksin. Tidak ada bukti bahawa kematian itu secara langsung disebabkan vaksin Covid-19,” katanya sambil menambah bahawa mendapatkan vaksin sangat penting untuk melindungi bukan hanya seorang individu, tetapi masyarakat secara keseluruhan.

“Semakin lama pandemik Covid-19 berlarutan, semakin banyak jenis virus akan wujud kerana ia secara semula jadinya akan bermutasi,” katanya.

“Kita perlu menggunakan vaksin untuk melindungi masyarakat sebaik mungkin. Inilah sebabnya mengapa slogan kami adalah 'lindungi diri, lindungi semua'. Jika anda ditawarkan vaksin, sila ambil. Ia bukan hanya untuk melindungi anda, tetapi juga melindungi semua orang.

"Orang ramai perlu mendapatkan fakta yang sebenar. Contohnya, dapatkan maklumat tepat dengan melayari laman web KKM untuk melihat fakta terkini. Jauhi kumpulan anti vaksin atau mereka yang menghasut bertujuan menakut-nakutkan mengenai virus dan vaksin,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!