X

Kindly register in order to view this article
!

Tambah wakil rakyat wanita

A
A

DENGAN cuma 14.9 peratus ahli Parlimen wanita, Malaysia menduduki tempat ke-145 dalam kalangan 192 negara mengikut Kesatuan Antara Parlimen (IPU). Pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), peratusannya lebih rendah lagi, 11.3 peratus.

Kita ketinggalan, bukan sahaja di belakang New Zealand (48.3 peratus) dalam Komanwel tetapi juga Emiriah Arab Bersatu (50 peratus) dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Singapura (29.5 peratus) di ASEAN.

Mengapa Malaysia gagal mencapai perwakilan wanita minimum 30 peratus piawaian antarabangsa sejak 1995? Apakah kita kekurangan bakat wanita? Jawapannya, kita kekurangan wakil rakyat lelaki yang bersara.

Pertambahan wakil rakyat wanita tidak mungkin berlaku tanpa wakil rakyat lelaki yang sedia ada dikalahkan oleh calon wanita daripada parti lawan atau digantikan oleh calon wanita daripada parti yang sama.

Itu dilema semua parti – bagaimana hendak menambah calon wanita tanpa memaksa wakil rakyat lelaki bersara sehingga mengundang ‘pemberontakan’.

Dilema itu wujud kerana setiap kawasan pilihan raya di Malaysia cuma memilih seorang wakil, maka kawasan itu mudah menjadi milik wakil rakyat yang popular dan enggan bersara.

Jika sebuah kawasan pilihan raya boleh memilih beberapa orang wakil, maka lebih senang untuk menambah calon wanita.

Singapura mempunyai kedua-dua jenis kawasan wakil tunggal (SMC) dan kawasan perwakilan berkumpulan (GRC) yang memilih empat hingga lima ahli Parlimen.

Sungguhpun GRC diwujudkan untuk menjamin perwakilan bukan Cina, ia turut menambah wakil rakyat wanita. Daripada 27 ahli Parlimen wanita, 22 diangkat oleh 17 GRC.

Antara 20 negara yang mempunyai peratusan ahli Parlimen wanita tertinggi, 18 menggunakan 'kawasan wakil ramai’ (multimember constituencies) sama ada kesemuanya atau sebahagiannya.

Di New Zealand, 48 daripada 120 ahli Parlimen dipilih mengikut parti dengan seluruh negara sebagai sebuah 'kawasan wakil ramai’. Peratusan wanita di Parlimen kini 48.3 peratus berbanding 21 peratus pada 1993 apabila sistem seperti Malaysia digunakan.

Perlembagaan Persekutuan menghalang kewujudan 'kawasan wakil ramai’ untuk Parlimen (Perkara 116) dan DUN (Perkara 117).

Kerajaan Terengganu Pas, pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah meminda perlembagaan negeri pada 2003 untuk menjamin perwakilan minimum wanita dan minoriti.

Jika tiada seorang pun wakil wanita atau bukan Muslim dipilih ke DUN, maka kerajaan negeri boleh menamakan sehingga empat orang 'ADUN dilantik’ wanita atau bukan Muslim.

Penambahan ADUN dilantik dibenar oleh Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan dan sememangnya telah wujud di Sabah sejak 1963 dan diwujudkan di Pahang pada Disember lalu.

Sistem ADUN dilantik di tiga negeri itu dikritik sebagai tidak demokratik kerana parti kerajaan sahaja yang mendapat kerusi tambahan.

Pada Disember lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengumumkan satu inovasi yang akan mempertingkatkan perwakilan wanita dengan cara yang turut menguntungkan parti-parti pembangkang: Kerusi Tambahan untuk Wanita atau Top-up Women-Only Additional Seats (TWOAS).

Pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, semua parti yang bertanding akan diundang menamakan satu senarai calon yang maksimumnya 18 orang.

Jika kurang 12 orang ADUN wanita dipilih, maka wakil TWOAS akan ditambah sehingga 30 peratus tercapai daripada parti-parti mengikut peratusan undi mereka.

Andaikan PRN akan datang membawa keputusan sama seperti PRN 2018 iaitu cuma enam orang ADUN wanita (15 peratus) terpilih dan undi terpecah antara PH (67 peratus), BN (22 peratus) dan Pas (10 peratus), maka sembilan wakil TWOAS akan dilantik supaya jumlahnya menjadi 15/49 (30.6 peratus). Wakil-wakil TWOAS akan dilantik dalam kalangan PH (enam), BN (dua) dan Pas (satu).

Semoga inovasi Pulau Pinang yang mengangkat wanita dan menyuburkan demokrasi akan disokong oleh semua pihak seperti inovasi di Terengganu sebelum ini. Malu jika Malaysia tetap ketinggalan di dunia dalam keterangkuman gender.

* Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik dengan pengkhususan dalam sistem pilihan raya, parti politik dan demokrasi berparlimen


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!