Saya dah beli borang penamaan - Uncle Kentang

Chee Heng menunjukkan borang penamaan calon yang dibeli di Ibu Pejabat SPR Putrajaya, pagi tadi.
A
A

PUTRAJAYA - “Saya dah beli borang penamaan sebagai calon...saya akan bawa suara rakyat,” demikian kata Kuan Chee Heng yang mengumumkan akan bertanding sebagai calon bebas pada PRK DUN Semenyih 2 Mac ini.

Beliau yang ditemani pembantunya, Lee Kong Leong dilihat hadir di Lobi Menara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini pada jam 11.45 pagi tadi.

Bagaikan selebriti kehadiran beliau yang turut dikenali dengan nama Uncle Kentang di ibu pejabat SPR itu menjadi tumpuan mereka yang berada di situ.

Beberapa orang dilihat meminta kebenarannya untuk bergambar kenangan dan beliau tidak menolak permintaan itu sambil bersalam mesra dengan sesiapa yang ditemuinya.

Lebih mengejutkan ketika melintas jalan untuk kembali ke kereta, beberapa kenderaan dirakam berhenti dan memberi laluan kepadanya malah ada penunggang motosikal yang menjerit ‘Hidup YB’ sebelum berlalu pergi.

Chee Heng berkata, beliau akan terus bersuara untuk rakyat susah dah pesakit terlantar.

Menurutnya, selepas mengumumkan untuk bertanding pada 5 Februari lalu, beliau dikritik pelbagai pihak malah tidak kurang yang memberi sokongan.

“Saya berterima kasih kepada sokongan dan kritikan tuan puan kerana ia membakar semangat saya untuk masuk membawa suara mereka yang tertindas.

“Saya dah beli borang, saya akan bawa suara mereka yang susah dan pesakit terlantar,”katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Chee Heng yang merupakan Presiden Persatuan Kepolisan Masyarakat Malaysia (CP)mengumumkan bertanding sebagai calon bebas pada PRK DUN Semenyih.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan bertanding bukan mencari kemenangan semata-mata namun untuk kemenangan anak-anak Semenyih.

Katanya, beliau akan melaksanakan beberapa inisiatif seperti dibuat di kawasan Puchong termasuk perkhidmatan asas seperti Teksi 10 sen, van jenazah dan ambulan percuma ketika ini di kawasan Semenyih sekiranya dipilih pengundi.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Bakhtiar menewaskan Datuk Johan Abdul Aziz (BN) serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (Pas) dan S Arutchelvan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan yang menjadi wakil rakyat di kawasan itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

ARTIKEL BERKAITAN: Uncle Kentang umum bertanding PRK Semenyih

ARTIKEL BERKAITAN: Uncle Kentang tak kisah kalah, tapi...

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Dun Semenyih: Mampukah Uncle Kentang beri saingan?


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia