KPNHEP nasihat peniaga, orang ramai tidak alpa jaga SOP

Rosol Wahid
Rosol Wahid
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihatkan para peniaga dan orang ramai tidak alpa dengan kepentingan menjaga prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan risiko penularan Covid-19.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pihak penguat kuasa KPDNHEP telah memeriksa sebanyak 361,454 premis mulai 8 Mei 2020 sehingga 9 Februari 2021.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 353,122 premis didapati patuh SOP, 7,614 premis diberi nasihat, 584 premis diberi amaran dan 134 premis dikenakan kompaun.

"Berdasarkan statistik berkenaan menunjukkan tahap pematuhan ke atas SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya bagi sektor borong dan runcit berada pada tahap yang tinggi iaitu sejumlah 353,122 atau 97.69 peratus daripada keseluruhan 361,454 jumlah premis yang diperiksa.

"Antara premis-premis yang dikenakan kompaun termasuklah farmasi, kedai telekomunikasi, restoran, kedai aksesori kenderaan, kedai pakaian dan bengkel kenderaan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata, secara keseluruhannya kementerian berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP dalam kalangan peniaga dan berharap disiplin ini terus diperkemaskan bagi memastikan usaha kerajaan membendung penularan wabak pandemik berjaya.

Hasnol Zam Zam (tiga dari kanan) melakukan tinjauan di premis pakaian di IOI Mall Puchong bersama Rosol (kiri).
Hasnol Zam Zam (tiga dari kanan) melakukan tinjauan di premis pakaian di IOI Mall Puchong bersama Rosol (kiri).

"Pegawai-pegawai penguat kuasa juga akan memantau pelaksanaan 'dine-in' di restoran-restoran supaya SOP dipatuhi sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian berharap semua pihak sama ada peniaga atau pengguna terus mematuhi SOP ditetapkan oleh kerajaan sekali gus membantu menghapuskan Covid-19," ujarnya.

Beliau bersama penguat kuasa KPDNHEP turun padang bagi melakukan tinjauan tahap pematuhan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Tinjauan turut disertai Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam.

Pada Rabu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan baki keseluruhan perniagaan peruncitan beroperasi semula serta kebenaran makan di restoran dengan SOP yang ketat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu bagi memastikan kelangsungan ekonomi perniagaan peruncitan iaitu antaranya kedai pakaian dan aksesori, aksesori kereta, kraftangan, kedai permainan kanak-kanak, kedai peralatan sukan dan sebagainya.