NGO jadi mata, telinga SPRM

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (Geram) sedia menjadi mata dan telinga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam memerangi gejala rasuah melibatkan isu alam sekitar di negeri ini.

Pengerusinya, Ali Akbar Othman berkata, sebagai NGO yang memperjuangkan isu alam sekitar, beliau melihat isu rasuah melibatkan alam sekitar juga perlu diberi tumpuan dan diperangi habis-habisan.

Menurutnya, gejala rasuah boleh berlaku dalam pelbagai sektor dan tidak terkecuali dalam aktiviti melibatkan alam sekitar.

"Kita juga bimbang, isu rasuah turut menyumbang kepada pelanggaran undang-undang yang akhirnya mengundang kemusnahan alam sekitar dan menjejaskan kehidupan orang ramai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ali Akbar berkata, sebagai NGO, mereka tiada kuasa untuk mengambil tindakan, namun sebagai pejuang alam sekitar Geram boleh turut serta memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa memerangi permasalahan ini.

"Kita sebenarnya memang menuju ke arah itu lebih-lebih lagi selepas turut dilibatkan dalam program-program SPRM Pahang sejak tiga tahun lalu.

"Kita ada kesedaran untuk menjaga dan memelihara khazanah alam sekitar dan usaha bersama memerangi rasuah dalam isu ini juga sebahagian daripada usaha itu," katanya.

Beliau berkata, sebarang aktiviti penerokaan hutan baik bagi tujuan pembangunan, pembalakan, perlombongan dan sebagainya perlu mengikut prosedur dan mematuhi segala syarat yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Jangan sesekali menjadikan rasuah sebagai jalan mudah untuk menidakkan peraturan demi keuntungan dan kepentingan individu atau kelompok tertentu.

"Justeru, Geram akan mainkan peranan sebagai sebuah NGO untuk sama-sama membantu dalam aspek penyaluran maklumat dan sebagainya," katanya.

Tambah beliau, sebagaimana usaha pihak Sinar Harian menggerakkan kempen memerangi rasuah melalui Sinar Untuk Malaysia #NilaiMoralKarakterBangsa bagi membanteras gejala rasuah dan membina semula negara, NGO juga perlu bersama-sama memainkan peranan.

"Setidak-tidaknya dalam kalangan ahli NGO itu sendiri perlu ada kesedaran untuk tidak sesekali menghulur atau menerima rasuah," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ikon Malaysia, Mia Nurhamizah Abdul Ghapar berkata, penghayatan, didikan agama dan moral merupakan pedoman serta panduan yang dapat membantu dalam menempuh pelbagai cabaran kehidupan.

Katanya, seseorang yang tidak mempunyai iman yang kuat mudah terpengaruh dengan dunia hedonistik yang mementingkan aspek kebendaan semata-mata.

"Biasanya mereka yang ingin hidup mewah, akan leka mengejar kekayaan dan mudah terjerumus ke dalam lembah kejahatan dengan mengambil rasuah untuk memenuhi kepentingan diri sendiri.

"Namun jika iman seseorang itu kuat dan teguh serta takut dengan hukuman sama ada di dunia dan di akhirat kelak, pasti amalan itu dapat dijauhi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Tambahnya, rasuah kini merupakan wabak sosial yang mesti dibanteras hingga ke akar umbi bukan sahaja di peringkat atasan, malah rakyat marhaen juga perlu diberi perhatian.