X

Kindly register in order to view this article
!

Mampukah 'Super Mario' selamatkan Itali?

Bekas Presiden Bank Pusat Eropah, Mario Draghi diminta membantu menyelamatkan krisis politik Itali. - Foto AFP
A
A

PRESIDEN Itali, Sergio Mattarella, 79, telah meminta bekas Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Mario Draghi mendapatkan sokongan daripada kalangan wakil-wakil rakyat negara itu bagi membentuk sebuah kerajaan perpaduan selepas Perdana Menteri negara itu, Giuseppe Conte meletakkan jawatan pada hujung Januari lalu.

Conte, 56, yang merupakan seorang profesor undang-undang dan mengetuai kerajaan sejak tahun 2018 meletakkan jawatan selepas sebuah parti kecil yang diketuai bekas Perdana Menteri, Matteo Renzi, 46, menarik diri daripada menyertai kerajaan campuran.

Renzi dilaporkan berkata, partinya akan menyertai semula kerajaan campuran jika Conte memenuhi satu senarai tuntutannya tetapi profesor undang-undang tersebut yang tidak mempunyai pengalaman dalam politik akhirnya bertindak meletakkan jawatan.

Tindakan Renzi itu mengakibatkan dua parti yang membentuk kerajaan campuran iaitu Pergerakan Lima Bintang (M5S) dan parti Demokratik tidak mempunyai majoriti di Parlimen Itali.

Isu yang menyebabkan perbalahan itu adalah mengenai rancangan Conte untuk membelanjakan AS$254 bilion (RM1.02 trilion) dana pemulihan Kesatuan Eropah (EU) yang merupakan sebahagian daripada dana penyelamat EU diperuntukkan kepada Itali bagi menghadapi kesan krisis pandemik Covid-19.

Renzi berpendapat, dana EU itu sepatutnya dilaburkan ke dalam sektor seperti digital dan teknologi hijau dan mahu ahli-ahli parlimen membuat keputusan tentang skop perbelanjaan tersebut dan bukannya hanya terhad kepada golongan teknokrat.

Beliau yang memimpin parti Italia Viva juga mahu lebih banyak pelaburan dibuat dalam perkhidmatan kesihatan di negara itu.

Namun, Conte berjaya menang undi percaya di Dewan Perundangan tetapi meletakkan jawatan selepas gagal memperoleh undi percaya dengan majoriti yang kukuh di Dewan Senat.

Beliau pertama kali dipilih sebagai Perdana Menteri selepas pemimpin parti M5S, Luigo Di Maio dan pemimpin Parti Lega, Matteo Salvini tidak dapat mencapai kata putus siapa yang akan menjadi Perdana Menteri setelah berjaya membentuk sebuah kerajaan campuran pada tahun 2018.

Kemelesetan ekonomi turut melanda Itali ketika pandemik Covid-19 masih belum dapat dibendung di negara tersebut. - Foto AFP
Kemelesetan ekonomi turut melanda Itali ketika pandemik Covid-19 masih belum dapat dibendung di negara tersebut. - Foto AFP

Conte sekali lagi berjaya menjadi Perdana Menteri setelah berlaku perpecahan dalam kerajaan campuran tersebut pada tahun 2019 dengan mewujudkan perikatan baharu.

Kini, negara tersebut bukan sahaja berusaha untuk membendung Covid-19 tetapi juga berdepan dengan masalah kemelesetan ekonomi.

Justeru, Draghi, 73, yang merupakan bekas Presiden Bank Pusat Eropah dan mantan pegawai perbendaharaan Itali telah diminta oleh Presiden negara tersebut membentuk sebuah kerajaan campuran baharu untuk menangani krisis ekonomi serta kesihatan yang terburuk pernah dihadapi sejak di zaman Perang Dunia Kedua.

Tugas beliau buat masa kini ialah mendapatkan sokongan yang mencukupi di Dewan Perundangan dan Dewat Senat bagi membolehkannya mengetuai sebuah kerajaan perpaduan.

Sebelum ini, Presiden Itali itu berkata, beliau mempunyai dua pilihan iaitu membubarkan Parlimen atau mencalonkan sebuah kerajaan teknikal berbanding memilih seorang wakil rakyat yang akan membentuk pentadbiran bagi menguruskan pandemik Covid-19, masalah ekonomi dan sosial di negara tersebut.

Justeru, beliau menamakan Draghi untuk mencari sokongan daripada wakil-wakil rakyat untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan.

Menurut portal berita The Local, Itali kini tidak mempunyai Perdana Menteri sejak Conte meletakkan jawatan.

Itali mengalami krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19 yang terburuk dalam sejarah negara itu sejak Perang Dunia Kedua. - Foto AFP
Itali mengalami krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19 yang terburuk dalam sejarah negara itu sejak Perang Dunia Kedua. - Foto AFP

Lebih 91,000 orang telah meninggal dunia akibat Covid-19 dan hampir setengah juta pekerjaan hilang akibat pandemik tersebut.

Adakah Draghi yang dikenali dengan gelaran sebagai Super Mario kerana berjaya menyelamatkan mata wang euro daripada kejatuhan ketika mengetuai bank ECB bakal membantu Itali?

Super Mario ialah watak dalam permainan video yang popular keluaran syarikat Nintendo.

Sebagai bakal Perdana Menteri, Draghi boleh menggunakan pengalamannya mengetuai jabatan perbendaharaan di Kementerian Ekonomi Itali pada tahun 1990an untuk mentadbir negara tersebut.

"Beliau tahu untuk bekerjasama dengan jentera kerajaan. Ia akan menjadi kelebihan terbesarnya," kata Veronica De Romanis iaitu seorang ahli ekonomi yang pernah bekerjasama dengan Draghi di Kementerian Ekonomi Itali kepada AFP. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!