FeMAC akui majoriti ILKS berdepan masalah kewangan

Azizul Mohd Othman
Azizul Mohd Othman
A
A
A

IPOH - Persekutuan Pusat Bertauliah Jabatan Pembangunan Kemahiran Malaysia (FeMAC) mengakui sebahagian besar pusat-pusat bertauliah berdepan masalah aliran kewangan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presidennya, Azizul Mohd Othman berkata, sehubungan itu pihaknya menggesa kerajaan supaya memberikan beberapa bantuan yang diperlukan oleh Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) untuk mereka meneruskan operasi.

Menurutnya, antara perkara yang perlu dipertimbangkan termasuklah bantuan subsidi upah kepada ILKS seperti mana diberikan kepada sektor-sektor lain.

"Selain itu, bantuan modal pusingan atau aliran kewangan mengikut keperluan pusat bertauliah dalam bentuk pinjaman tanpa faedah ataupun faedah yang paling minimum perlu disediakan.

"Kerajaan juga diminta melihat bentuk bantuan berbentuk prasarana kepada pusat bertauliah dan pelatih seperti komputer atau gajet bagi membolehkan pengajaran dalam talian dapat dijalankan secara efektif," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Azizul turut memohon kepada kerajaan untuk memberi kelonggaran bagi penangguhan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga keadaan ILKS pulih.

Jelasnya, bantuan pembiayaan bagi ujian calitan bagi pelatih dan kakitangan pusat-pusat bertauliah yang berada di dalam kawasan berisiko dipertimbangkan bagi mengekang penularan Covid-19.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, walaupun hampir kesemua ILKS terjejas, situasi semasa bagi sektor berkenaan agak positif apabila pada 15 Januari 2021 pusat-pusat bertauliah di bawah FeMAC telah diberikan kelonggaran untuk beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kelonggaran beroperasi itu mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditambah baik oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dengan beberapa syarat tambahan.

"Dengan kebenaran ini, pelajar-pelajar yang akan tamat dalam tempoh enam bulan dibenarkan untuk kembali belajar di pusat-pusat bertauliah ini. Begitu juga dengan kursus-kursus yang tempohnya tidak melebihi enam bulan.

"Ini jauh lebih baik daripada sebelumnya yang mana pusat bertauliah tidak dibenarkan beroperasi sama sekali. Dengan penurunan kes jangkitan Covid-19 ini, FeMAC yakin kelonggaran yang lebih fleksibel akan diberikan oleh pihak berwajib," katanya.

Azizul turut menegaskan walaupun FeMAC mewakili ahli-ahli yang berdaftar dengan persatuan itu, tetapi secara umum FeMAC memperjuangkan industri latihan secara keseluruhan.

Menurutnya, segala peraturan, kemudahan dan insentif yang diperoleh oleh FeMAC daripada agensi bertanggungjawab terhadap latihan kemahiran akan turut dinikmati secara tidak langsung oleh pusat bertauliah yang bukan ahli persatuan.

Pada Selasa, Sinar Harian mendedahkan seramai 15,000 hingga 20,000 kakitangan termasuk tenaga pengajar di 350 buah ILKS kini berhadapan dengan risiko kehilangan pekerjaan ekoran kesan pelaksanaan PKP sejak Januari lalu.

Turut terkesan ialah 10,000 orang pelatih yang sedang menjalani pelbagai latihan kemahiran di seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Institut latihan kemahiran swasta 'nazak'