X

Kindly register in order to view this article
!

Pekebun harap rundingan bersama kerajaan negeri

Insiden yang berlaku di Paya Lang,Triang selepas kehadiran jengkaut difahamkan untuk menebang pokok kelapa sawit di kawasan tersebut pada Selasa.
A
A

BERA - Satu rundingan diharap dapat dilaksanakan bersama kerajaan negeri dan kira-kira 70 pekebun terlibat di Paya Lang, Triang berikutan insiden yang berlaku di kawasan terbabit pada Selasa.

Dalam insiden itu, beberapa pekebun berkumpul apabila jengkaut mula memasuki kawasan terbabit yang berkeluasan kira-kira 80 hektar difahamkan untuk menebang pokok kelapa sawit milik mereka untuk tujuan pembangunan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Triang, Leong Yu Man berkata, pihaknya berharap rundingan dapat dijalankan bersama pekebun terlibat yang kebanyakannya telah mencari rezeki di kawasan itu sejak puluhan tahun lalu sebelum merdeka.

Menurutnya, kawasan tersebut pada mulanya dibuka untuk projek penanaman padi dengan peruntukan kerajaan telah diberi namun ditukar dengan tanaman lain antaranya kelapa sawit dan getah selepas projek itu gagal.

"Saya berharap kerajaan negeri bertimbang rasa dengan pekebun selain faktor tanaman kelapa sawit mereka telah matang untuk dituai hasilnya.

"Penduduk telah memohon sekian lama untuk mendapatkan geran dan kalau betul untuk dimajukan keutamaan perlu diberikan kepada penduduk tempatan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sementara Paya Lang, Lee Chin Kong, 65, mendakwa, mereka telah lama memohon geran namun masih gagal diperoleh sehingga kini.

Pihak polis bersama Yu Man (kanan) dan penduduk berbincang di kawasan Paya Lang, Triang pada Selasa.
Pihak polis bersama Yu Man (kanan) dan penduduk berbincang di kawasan Paya Lang, Triang pada Selasa.

"Kami bukan tauke besar atau nak jadi kaya, sudah bergenerasi kami bercucuk tanam mencari rezeki dengan keluasan tanah yang dimiliki pekebun sekadar satu hingga tiga ekar.

"Kami juga langsung tidak menerima sebarang notis daripada pihak pemaju sebelum ini," dakwanya sebelum ini lesen pendudukan sementara (TOL) telah diberikan namun telah dibatalkan.

Tambahnya, beliau berharap kerajaan negeri mengadakan rundingan bersama pekebun terlibat untuk mencari jalan penyelesaian sewajarnya.

Ujarnya, mereka telah membuat laporan di Balai Polis Triang pada Selasa selepas insiden tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Shamsudin berkata, pihaknya telah menerima panggilan kira-kira jam 11.15 pagi memaklumkan terdapat 30 individu telah berkumpul di ladang sawit Paya Lang, Triang di sini pada Selasa.

"Setelah perbincangan dibuat, kesemua telah bersurai bagi mengelakkan ketegangan dan kejadian tidak diingini berlaku," katanya lagi.

Jelasnya, kedua-dua pihak telah bersetuju membawa perkara ini ke mahkamah dan membuat laporan polis.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!