KPDNHEP Negeri Sembilan serbu rumah simpan barang tiruan

Sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar, Senawang diserbu KPDNHEP pada Selasa disyaki jadi stor barangan tiruan.
Sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar, Senawang diserbu KPDNHEP pada Selasa disyaki jadi stor barangan tiruan.
A
A
A

SEREMBAN - Sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar, di Senawang diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan selepas disyaki dijadikan sebagai stor penyimpanan barang tiruan untuk tujuan perdagangan pada Selasa.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, tindakan ini hasil daripada pemantauan dan risikan selama seminggu yang dibuat oleh KPDNHEP Negeri Sembilan dan pihak pengadu bagi cap dagangan berkenaan.

"Semasa pemeriksaan dijalankan, terdapat seorang wanita warga tempatan berumur 30 tahun di kediaman terbabit yang juga pemilik perniagaan yang berdaftar berdasarkan rekod pendaftaran perniagaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 1,825 unit barangan iaitu kasut pelbagai jenama yang disyaki tiruan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM27,375 di dalam bilik yang dijadikan sebagai stor simpanan.

"Kesemua barangan berkenaan disita di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Katanya, siasatan awal yang dijalankan mendapati suspek telah menjalankan perniagaan ini sekitar tiga tahun.

Sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar, Senawang diserbu KPDNHEP pada Selasa disyaki jadi stor barangan tiruan.
Sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar, Senawang diserbu KPDNHEP pada Selasa disyaki jadi stor barangan tiruan.

"Barangan tersebut dipercayai diperoleh dari luar negara dan disimpan di lokasi berkenaan sebelum dijual kepada pelanggan secara dalam talian untuk pasaran di dalam negara.

Artikel Berkaitan:

"Tindakan kes ini merupakan yang pertama di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi tahun 2021 yang diambil oleh KPDNHEP Negeri Sembilan dan melibatkan nilai rampasan yang terbesar setakat ini.

"Berdasarkan rekod pada tahun 2020, KPDNHEP Negeri Sembilan telah mengambil tindakan sebanyak 14 kes di bawah Akta Cap Dagangan 2019 dengan nilai rampasan sebanyak RM518,806.50," katanya.

Katanya, KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus mengambil tindakan yang tegas ke atas peniaga-peniaga yang didapati menjual barangan tiruan dari masa ke masa.

"Para pengguna juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika membuat pembelian di dalam talian bagi mengelakkan tertipu membeli barangan tiruan menggunakan jenama terkenal.

"Pengguna di Negeri Sembilan boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang kepada pihak kementerian melalui beberapa saluran antaranya melalui portal e-aduan.kpdnhep https://eaduan.kpdnhep.gov.my, Call centre 1 800 886 800 dan emel e-aduan@kpdnhep.gov.my," katanya.