Jawatankuasa Darurat 2021 perlu digerak segera

Nik Ahmad Kamal
Nik Ahmad Kamal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 yang terdiri daripada pelbagai latar belakang serta kepakaran adalah bertepatan dalam usaha kerajaan melindungi keselamatan rakyat dalam mendepani Covid-19 dan perlu digerakkan segera.

Pakar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, jawatankuasa itu dapat memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan langkah harus diambil dalam menangani pandemik berkenaan.

"Kepentingan dan peranan jawatankuasa ini amat besar dan kalau dilihat Ordinan Darurat 2021 itu, jawatankuasa ini diletakkan pada seksyen paling awal, maka kelewatan sebulan ini mungkin ada sebab-sebab tertentu, namun ia perlu dilaksanakan segera.

"Fungsi jawatankuasa ini jelas untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan mengenai perkembangan pelaksanaan darurat di negara ini sama ada perlu diteruskan atau ditamatkan," katanya menerusi program Malaysia Petang Ini terbitan Bernama TV.

Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 itu ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dengan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria.

Keanggotaannya pula terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.

Jawatankuasa itu berperanan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat di Malaysia dan penamatannya. - Bernama

Artikel Berkaitan: