'Tarik balik perintah kuarantin tiga hari'

Laporan Sinar Harian pada 9 Februari lalu.
Laporan Sinar Harian pada 9 Februari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 34 ahli Parlimen pembangkang menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menarik balik perintah kuarantin tiga hari bagi menteri yang telah dimasukkan dalam warta Persekutuan.

Menerusi satu kenyataan bersama pada Rabu, kesemua ahli Parlimen itu sepakat bahawa tindakan Dr Adham yang berturut-turut mengeluarkan kenyataan mengelirukan tentang perintah kuarantin bagi mereka yang pulang dari luar negara perlu diperjelaskan.

"Pada 8 Februari 2021, beliau menyatakan menteri yang pulang daripada lawatan rasmi luar negara hanya perlu menjalani kuarantin selama tiga hari, sedangkan tempoh kuarantin bagi rakyat biasa adalah 10 hari.

"Sehari kemudian, beliau mempertahankan keputusannya bahawa kuarantin tiga hari itu hanya diberikan kepada menteri yang benar-benar mengikut 'gelembung program perjalanan' (itinerary bubble), iaitu tidak terlibat dengan mana-mana program kecuali pertemuan rasmi yang layak untuk kelonggaran kuarantin, seperti apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatan rasminya ke Indonesia baru-baru ini," kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun katanya, Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengadakan lawatan rasmi ke Emiriah Arab Bersatu pula perlu menjalani kuarantin 10 hari kerana jadual lawatan rasminya dikatakan ketat.

Menurut kenyataan itu lagi, Dr Adham kemudiannya sekali lagi memberi kenyataan mengelirukan dengan menyatakan bahawa kuarantin tiga hari itu mungkin dibuka kepada ahli perniagaan dan orang awam tidak lama lagi.

"Justeru, kami menuntut beliau untuk menjelaskan apakah rasional dan kriteria sebenar untuk rakyat Malaysia, tidak kira sama ada menteri atau rakyat biasa, yang pulang dari luar negara berhubung isu kuarantin dan kawalan Covid-19.

"Beliau tidak boleh mengeluarkan perintah yang memberi kelonggaran kepada menteri Kabinet dalam warta Persekutuan, kemudian sesuka hati berkata kelonggaran kuarantin tiga hari itu hanya diberi kepada menteri yang benar-benar mengikut 'gelembung program perjalanan' tetapi bukan kepada menteri yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Ini bermaksud wujudnya kuarantin 'dwi-standard' dalam kalangan menteri yang membuat lawatan rasmi ke luar negara. Tidak ada ketekalan (consistency) dalam keputusan beliau, malah menimbulkan kekeliruan dalam negara," jelas kenyataan itu.

Kenyataan sama menyebut, kerajaan telah dan sedang mengenakan tindakan keras iaitu tangkapan dan denda yang berat bagi mereka yang dituduh melanggar prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara, maka menteri sepatutnya menunjukkan teladan dengan mematuhi segala SOP kawalan jangkitan Covid-19 dan tidak menjadi punca kepada kluster baharu apabila berjumpa dengan rakyat.

Kesemua 34 ahli Parlimen itu turut menyeru Kabinet PN untuk segera mengadakan perbincangan dengan teliti dan mendalam dalam isu kuarantin bagi rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara ini.

"Kami mahu kerajaan melaksanakan perintah kuarantin yang adil dan sama bagi semua pihak kerana wabak Covid-19 tidak mengenal pangkat dan kedudukan, sama ada kepada menteri atau pemandu menteri.

"Keputusan kerajaan terhadap isu yang amat penting seperti kuarantin ini perlu berdasarkan maklumat tepat berasaskan sains serta kawalan pandemik dan bukan untuk memberi keselesaan atau memudahkan gaya hidup menteri," katanya.

Tegas kenyataan itu, wabak Covid-19 adalah soal hidup atau mati yang perlu ditangani dengan serius.