Siasat pula asal-usul Covid-19 di AS

Pakar WHO, Peter Ben Embarek bersama rakan lain tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe pada Rabu selepas misi siasatan di Wuhan, wilayah Hubei berakhir. - Foto AFP
Pakar WHO, Peter Ben Embarek bersama rakan lain tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe pada Rabu selepas misi siasatan di Wuhan, wilayah Hubei berakhir. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Kementerian Luar China pada Rabu menggesa Amerika Syarikat (AS) bersikap terbuka, telus dan menggunakan pendekatan ilmiah untuk menjemput pakar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyiasat asal-usul Covid-19 di negara itu pula.

Kenyataan itu dikeluarkan jurucakap kementerian itu, Wang Wenbin selepas Washington masih tidak berpuas hati dan mendakwa ia tidak akan menerima laporan siasatan di bandar Wuhan tanpa mendapatkan pengesahan sendiri berdasarkan maklumat risikan mereka.

Menurutnya, beberapa penyelidikan menunjukkan virus itu muncul di lokasi berbeza di seluruh dunia pada separuh kedua 2019.

“Usaha menjejaki virus adalah isu saintifik yang kompleks dan harus dilakukan oleh saintis global. Lokasi pengesanan virus juga akan berubah mengikut pengumpulan bukti fakta dan perkembangan hipotesis santifik,” tegasnya.

Beijing juga berharap negara yang relevan dapat melakukan penyelidikan terhadap asal-usul Covid-19 dan berkongsi laporan penemuan mereka.

Terdahulu, pakar WHO, Peter Daszak menerusi Twitter menyelar pihak yang seakan-akan tidak berpuas hati dengan laporan akhir untuk menyiasat asal-usul Covid-19 di Wuhan.

“Tolong jangan terlalu bergantung kepada laporan risikan dan teori mengarut di bawah pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menyalurkan maklumat tidak tepat melibatkan pelbagai aspek,” ujarnya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Jabatan Negara AS yang menyuarakan keraguan mereka terhadap ketelusan membabitkan kerjasama China dengan misi WHO tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menerusi kenyataan itu, jurucakap Jabatan Negara, Ned Price berkata, Rumah Putih secara jelas menyokong siasatan tersebut, namun ia tetap percaya Beijing cuba menyembunyikan maklumat sebenar. - Agensi