i-Sinar: Tengku Zafrul jamin kerajaan segera lakukan penambahbaikan

Tangkap layar hantaran di Facebook Tengku Zafrul pada Rabu.
Tangkap layar hantaran di Facebook Tengku Zafrul pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan kerajaan akan segera melakukan penambahbaikan terhadap aduan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Beliau berkata, kerajaan ambil maklum akan keresahan rakyat yang mahu menggunakan kemudahan pengeluaran KWSP.

“Pihak kerajaan sentiasa peka dengan keluhan dan isi hati rakyat tentang pelbagai inisiatif seperti i-Sinar.

"Suara anda didengari dan penambahbaikan akan dilakukan segera,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Beberapa pemimpin politik daripada kerajaan dan juga pembangkang mendesak kerajaan supaya memudahkan proses pengeluaran simpanan KWSP untuk meringankan bebanan kewangan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia ketika pandemik Covid-19.

Pada Disember tahun lalu, KWSP mengumumkan dua kategori yang layak untuk melakukan kemudahan pengeluaran simpanan membabitkan lapan juta ahlinya yang layak melalui skim i-Sinar.

Pengeluaran kategori satu melibatkan mereka yang bekerja di sektor formal, bekerja sendiri, bekerja di dalam sektor ekonomi gig, sudah lama tidak mencarum, hilang pekerjaan, suri rumah atau yang diberi notis cuti tanpa gaji.

Kriteria bagi kategori satu adalah ahli yang tiada caruman dengan KWSP sekurang-kurangnya selama dua bulan berturut-turut semasa permohonan; atau ahli yang masih bekerja tetapi telah mengalami pengurangan gaji pokok sebanyak 30 peratus dan ke atas selepas Mac 2020.

Artikel Berkaitan:

Bagi kategori dua pula, ia diperuntukkan bagi pemohon yang masih bekerja tetapi mengalami pengurangan pendapatan keseluruhan sebanyak 30 peratus dan ke atas termasuk pengurangan gaji dan elaun, atau pemotongan tuntutan kerja lebih masa selepas Mac 2020.

Pencarum yang memohon dalam kategori satu diberikan kelulusan secara automatik tanpa sebarang dokumen sokongan manakala pemohon kategori dua pula perlu memberi dokumen sokongan slip gaji sebelum dan selepas pengurangan pendapatan.

Pada Rabu, KWSP mengumumkan pelantikan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharunya yang akan berkuatkuasa pada 1 Mac ini.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu menggantikan Tunku Alizakri Alias yang mengetuai KWSP sejak Ogos 2018.