Lelaki ditahan, barangan seludup bernilai RM573,000 dirampas

Afzanizar (tiga dari kanan) menunjukkan sebagaian barangan seludup yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir pada Rabu.
Afzanizar (tiga dari kanan) menunjukkan sebagaian barangan seludup yang dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang lelaki ditahan bersama barangan seludup bernilai keseluruhan RM573,000 termasuk cukai di Klebang Kechil, di sini pada Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 2.05 petang itu, lelaki berusia 33 tahun dan berasal dari Rompin, Pahang ditahan oleh anggota Cawangan Risik Batalion 6 Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika memandu sebuah kereta Proton Wira dalam keadaan mencurigakan di lorong belakang kedai.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu telah menjumpai sebanyak 221 karton rokok pelbagai jenama yang disorokkan di but belakang.

Menurutnya, soal siasat awal kemudiannya membawa kepada penemuan 2,690 karton rokok pelbagai jenama, 21 kotak mercun dan 144 tin serta sembilan botol minuman keras disembunyikan di dalam sebuah rumah sewa yang turut dijadikan lokasi penyimpanan di Taman Limbongan Permai.

"Suspek yang tidak bekerja dipercayai melakukan kegiatan ini sejak sebulan lalu selain disyaki mendapatkan barangan seludup melalui jalan darat dari negeri jiran.

Sebahagian rokok seludup pelbagai jenama yang berjaya dirampas pada Isnin lalu.
Sebahagian rokok seludup pelbagai jenama yang berjaya dirampas pada Isnin lalu.

"Kita percaya kesemua barang seludup yang dirampas dengan nilai keseluruhan termasuk cukai RM573,000 itu akan dijual di kedai runcit berhampiran sekitar daerah ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Banda Hilir, di sini pada Rabu.

Afzanizar berkata, suspek masih ditahan reman selama tiga hari bermula Selasa untuk membantu siasatan mengikut seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam iaitu memiliki barang larangan import (rokok dan arak) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (v) (aa) akta yang sama.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, lelaki itu turut disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.