Najib minta Kabinet tidak hebahkan sumbangan putera Arab Saudi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan Kabinet agar sumbangan seorang putera Arab Saudi kepada Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak dihebahkan kepada umum kerana penderma itu tidak mahu sumbangannya diketahui orang ramai.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet, Perlembagaan dan Perhubungan Antara Kerajaan Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Mazidah Abdul Majid, 72, berkata, Najib memaklumkan perkara tersebut dalam satu Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) yang diadakan di Putrajaya pada 8 September 2010 yang dipengerusikan oleh Najib sendiri selaku Menteri Kewangan ketika itu.

Saksi pendakwaan ke-11 itu berkata, Najib bagaimanapun memaklumkan Raja Muda Arab Saudi, Putera Sultan Abdul Aziz Al-Saud telah meminta supaya sumbangan itu tidak diumumkan kepada umum dan Ahli Jemaah Menteri bersetuju untuk tidak menghebahkan perkara itu.

Mazidah berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada perbicaraan kes bekas perdana menteri itu melibatkan penyelewengan dana 1MDB.

“Putera Sultan Abdul Aziz menyalurkan sumbangan tersebut daripada yayasan kebajikannya kepada dana Yayasan 1MDB. Datuk Seri Najib berkata sumbangan pertama telah pun diterima dan pihak Putera Sultan Abdul Aziz berjanji akan menyalurkan sumbangan seterusnya selepas ini.

“Datuk Seri Najib berkata dengan sumbangan tersebut lebih banyak projek dan program yang berasaskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) akan dapat dilaksanakan melalui Yayasan 1MDB,” katanya.

Mazidah berkata, pada mesyuarat sama, Najib juga memaklumkan kepada ahli-ahli jemaah menteri untuk memberi cadangan bagi projek-projek CSR untuk dilaksanakan pada Oktober 2010.

“Yang Amat Berhormat juga memberi pandangan bahawa kerajaan perlu lebih kreatif dalam mencari sumber-sumber kerajaan dan peruntukan di luar rangkaian hasil kerajaan yang sedia ada kerana ia memberi lebih fleksibiliti kepada kerajaan untuk membantu rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Beliau berkata atas sebab inilah Yayasan 1MDB ditubuhkan untuk menyokong sumber-sumber sedia ada kerajaan khususnya bagi memperluaskan projek dan program sosial,” katanya.

Beliau berkata, minit mesyuarat itu kemudian telah disahkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri iaitu Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, pada September 2019, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberi keterangan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah menyerahkan empat keping cek berjumlah AS$100 juta kepadanya.

Beliau berkata, cek-cek tersebut didakwa sebagai 'derma' daripada keluarga diraja Saudi kepada Tabung Amanah Yayasan 1MDB tetapi Jho Low mengarahkan supayak tidak menunaikannya.

Shahrol Azral berkata, ekoran tiada arahan lanjut diberikan, beliau telah menyerahkan cek-cek tersebut kepada jabatan kewangan 1MDB untuk disimpan sebelum meletak jawatan pada 2013.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama