Maritim rampas 120 set bubu naga

Sebanyak 120 set bubu naga dirampas Maritim Perak dalam rondaan di Pulau Talang Segari. Foto: Ihsan Maritim Malaysia
Sebanyak 120 set bubu naga dirampas Maritim Perak dalam rondaan di Pulau Talang Segari. Foto: Ihsan Maritim Malaysia
A
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak merampas 120 set bubu naga di kedudukan 2.2 hingga 2.9 batu nautika barat laut Pulau Talang Segari di sini pada Selasa.

Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bubu naga bernilai RM14,400 dikesan dipasang secara haram ketika rondaan Op Benteng kira-kira jam 3 pagi.

“Semasa rondaan, bot pasukan mengesan beberapa pelampung di permukaan air yang mencurigakan di empat lokasi berbeza.

“Pemeriksaan mendapati pelampung tersebut merupakan penanda kepada bubu yang dipasang oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Pegawai Maritim Perak merampas bubu naga yang ditemui ketika rondaan Pulau Talang Segari. Foto: Ihsan Maritim Malaysia
Pegawai Maritim Perak merampas bubu naga yang ditemui ketika rondaan Pulau Talang Segari. Foto: Ihsan Maritim Malaysia

Menurutnya, kesemua bubu naga itu dirampas dan dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk tindakan dan siasatan lanjut.

“Penggunaan bubu naga ini dilihat berlaku secara berleluasa walaupun tindakan tegas dan larangan penggunaannya telah dikeluarkan.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga boleh mengancam pertumbuhan habitat marin serta berpotensi pupus.